Siti memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai operasi Shell Malysia di Sabah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Pengerusi Negara Shell Malaysia yang baharu dilantik, Siti Hurairah Sulaiman di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, hari ini.
Semasa lawatan itu, Siti memberi maklumat terkini perniagaan mengenai Shell Malaysia dan operasinya di Sabah kepada Ketua Menteri.
Siti, yang juga Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, memegang jawatan tersebut pada 1 Januari 2023, menjadikannya wanita pertama menerajui syarikat minyak multinasional itu di Malaysia.

Ketua Menteri menyampaikan cenderahati kepada Siti yang disertai pegawai kanan Shell Malaysia yang hadir.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar Sabah Shell Petroleum Company Ltd yang bertanggungjawab terhadap operasi huluan minyak dan gas Shell di Sabah selama empat tahun mulai 2011.
Menyertai Siti ialah Cindy Lopez, Pengarah Perhubungan Korporat, Wong Kim Mun, Pengurus Besar, Sabah Deepwater Assets, dan Jonathan Jolly, Pengurus Besar, Perhubungan Korporat Malaysia Timur.





























