Aktiviti Ikatan dan Simpulan yang menguji kemahiran kognitif para peserta
PERKHEMAHAN murid sekolah rendah sudah terbukti begitu signifikan dalam melahirkan dan memupuk semangat dan potensi mereka dalam aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah.
Mengambil inisiatif dari matlamat tersebut, Program Perkhemahan Unit Beruniform Bersepadu SK Pekan Pensiangan Komprehensif 9 dan SK Salinatan Pensiangan telah diadakan di sini baru-baru ini.
Dalam program Perkhemahan selama empat hari tiga malam bertempat di Eko Pelancongan Kem Nansalang, Kg Salinatan Pensiangan itu melibatkan seramai hampir 100 pelajar dan guru dari dua buah sekolah rendah tersebut.
Pada awal perjalanan ke tapak Perkhemahan tersebut, para peserta sudah didedahkan dengan pengalaman outdoor yang pertama bila mana mereka dibawa menaiki pengangkutan utama ke tapak perkhemahan dengan menaiki bot menyelusuri sungai selama lebih kurang 30 minit.

Sepanjang tempoh Perkhemahan, para peserta diperkenalkan dengan lebih lanjut tentang hidup berinisiatif dan berdikari yang dilihat mampu membuka minda serta kreativiti, di samping semangat berpasukan mereka.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam program itu termasuk Aktiviti Mendirikan Khemah, Ice Breaking, Ikatan dan Simpulan, Membina Gajet, Bantu Mula, Kembara Hutan, Malam Kebudayaan, dan juga Ikhtiar Hidup@Masakan ala rimba.
Juga diselitkan dalam program ialah aktiviti mencabar fizikal di mana para peserta perlu menaiki 222 anak tangga untuk sampai ke Tapak Perkhemahan Nansalang.
Dari pemerhatian yang dijalankan, ternyata kesemua 68 orang peserta yang terdiri daripada 40 orang murid SK Pekan Pensiangan Komprehensif 9 (SKPPK9) dan 28 orang murid SK Salinatan mendapat pengalaman yang baharu menerusi program itu.

Sebelum program tamat, telah diumumkan bahawa Irwan Mantoi dan Saul Zaidi sebagai Peserta Murid Terbaik Lelaki, manakala Rukinah James dan Hearnychafira Herry sebagai Peserta Murid Terbaik Perempuan.
Lain-lain individu yang terlibat dalam program itu ialah para guru, kerani sekolah, pembantu murid dan beberapa ketua-ketua masyarakat dan juga ibubapa murid peserta.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar SKPPK9, Sauli Hj Ramli @ Siambing berkata program tersebut penuh bermakna dan istimewa kerana ia menggabungkan dua buah sekolah iaitu SKPPK9 dan SK Salinatan.
“Tahniah kepada para peserta perkhemahan yang telah bersungguh-sungguh dan berjaya menyertai program perkhemahan bersepadu unit beruniform ini.

“Syabas juga kepada barisan penganjur program perkhemahan yang begitu komited untuk melaksanakan perkhemahan ini hinggalah program ini berlangsung dengan jayanya,” katanya.
Menurut Sauli, matlamat perkhemahan itu ialah untuk melahirkan dan memupuk semangat dan potensi murid dalam aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah ini dalam aspek JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Para peserta juga telah didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang lasak dan ilmu berkaitan pendidikan di luar bilik darjah yang sudah pasti akan menjadi kemahiran yang cukup berharga untuk mereka.
“Dengan adanya gabungan seperti ini, ia bukan sahaja dapat menggabungkan idea-idea bernas daripada para guru, tapi pada masa yang sama merapatkan lagi hubungan ukhuwah dan silaturahim antara warga SKPPK9 dan juga SK Salinatan.

“Saya yakin, jika kedua-dua pihak ini dapat merancang dan melaksanakan program ini dalam waktu yang begitu singkat, apatah lagi jika diberi peluang untuk merancang dalam satu jangka masa yang lebih panjang.
Pastinya program yang dianjurkan dapat dirancang dengan lebih teliti dan menghasilkan sebuah program yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya sambil berharap program seumpama itu dapat diadakan lagi di masa akan datang.



























