Thien Ee Hang
TAWAU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sepatutnya mengkaji semula isu kepimpinan parti secara dalaman dan tidak mengalihkan kesalahan kepada pihak lain.
Ketua DAPSY Tawau, Thien Ee Hang berkata, adalah tidak bertanggungjawab dan angkuh untuk menuding jari menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan parti lain “membeli” wakil rakyat Warisan.
“Jika mengikut logik Mohd. Shafie, adakah beliau menawarkan jawatan atau tawaran mewah kepada ADUN Sri Tanjong, Justin Wong dan ADUN Elopura, Calvin Chong apabila mereka mengkhianati DAP dan menyertai Warisan?
“Warisan ketika itu tidakpun mengutuk atau menolak wakil-wakil rakyat ini daripada menyertai mereka, malah mereka menggerakkan seluruh jentera parti untuk memutihkan pengkhianatan dua ADUN tersebut.
“Kenapa hanya sekarang memperjuangkan Undang-undang Anti-Lompat Parti? Adakah kerana Mohd. Shafie kini merasai seperti apa yang pihak lain rasai akibat perbuatannya?
“Ketika DAP dan Pakatan Harapan (PH) memperjuangkan Undang-undang Anti-Lompat Parti menerusi MoU dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Warisan ketika itu tidak henti-henti menyerang dan memfitnah DAP. Jadi amat menghairankan mereka (Warisan) kini menyokong Anti-Lompat Parti secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai respons kepada ucapan Mohd. Shafie di Parlimen baru-baru ini.
Thien mengulangi bahawa DAP dan PH Sabah sangat konsisten apabila menolak katak politik dan membawa agenda reformasi seperti Undang-undang Anti-Lompat Parti.
“Ia juga telah dibuktikan oleh Datuk Seri Masidi Manjun semalam bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah akan membentangkan Undang-undang Anti-Lokpat Parti pada Mac ini. Ini membuktikan kerajaan baharu dengan penyertaan PH Sabah adalah berlandaskan prinsip dan agenda reformasi,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Mohd. Shafie mempunyai bukti bahawa wakil rakyat partinya “dibeli”, beliau harus melakukan seperti yang diminta oleh Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui iaitu membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya bersetuju dengan cadangan itu dan menggesa Warisan untuk tidak terus berlakon seolah-olah menjadi mangsa di Parlimen jika mereka mempunyai bukti kukuh,” kata Thien.
Beliau juga menggesa pembangkang supaya berhenti bermain politik dan cuba menggugat kestabilan kerajaan, kerana kita berada pada saat yang genting untuk memulihkan ekonomi di tengah-tengah era pasca pandemik ini.
“Kita harus fokus dalam memulihkan keyakinan kepada rakyat dan masyarakat. Hentikan segala bentuk perebutan politik yang hanya mendatangkan keuntungan peribadi kepada pemimpin-pemimpin politik tertentu,” katanya.































