Dr. Jeffrey (tengah) bersama delegasi dari Henan, China semasa pertemuan mereka di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin.
KOTA KINABALU: Kota Puyang di Provinsi Henan, China dan Keningau merintis pakatan mesra untuk membina kerjasama dua hala dalam bidang pertanian, kebudayaan dan pelancongan.
Mantan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong ketika mengetuai delegasi dari provinsi itu menyatakan jemputan rasmi itu dalam pertemuan dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey G Kitingan di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin.
“Provinsi Henan dengan populasi sekitar 100 juta orang sangat maju dalam pembangunan pertanian,” katanya kepda Dr. Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
Ahli Parlimen Keningau itu menyambut baik jalinan kerjasama Puyang-Keningau dengan menyifatkan usaha berkenaan sebagai peluang terbaik kedua-dua bandar berkongsi kepakaran demi faedah bersama.
Choong yang disertai tiga anggota delegasi China berharap suatu persefahaman kerjasama dapat diformulasi dalam waktu terdekat ini.





























