Idris Abdullah
TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan siasatan berkaitan kes pembunuhan seorang lelaki warga tempatan pada 13 januari 2023 yang melibatkan penahanan lapan pegawai dan anggota PDRM serta tiga orang awam bagi membantu siasatan kes ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, kertas siasatan telah lengkap dan dimajukan kepada Pejabat Peguam Negara pada 7 Februari 2023.
“Kesemua tangkapan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini.
“Seramai tujuh orang suspek dituduh, yang terdiri daripada enam orang pegawai dan anggota PDRM dan seorang awam.
“Pihak polis juga pada 30 januari 2023 telah menuduh seorang wanita (orang awam) yang merupakan isteri mangsa atas kesalahan yang sama,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kesemua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.
Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.































