Pasukan bomba membantu mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
PAPAR: Seorang wanita mengalami cedera ringan di tangan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, panggilan kecemasan diterima melalui talian balai pada jam 6.18 pagi mengatakan satu kemalangan berlaku di Kampung Lakut.
“Kita menggerakkan sepasukan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hamdani Harith ke lokasi sejauh 2 kilometer itu, bersama dengan sebuah jentera dan sebuah van EMRS.
“Setiba di tempat kejadian, didapati satu kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis iaitu Kia Spectra dan Perodua Myvi.
“Terdapat seorang mangsa perempuan berumur 41 tahun terlibat mengalami kecederaan di tangan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya.
Rozlan berkata, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada keberbahayaan lain operasi ditamatkan pada jam 6.28 pagi,” katanya.































