PETALING JAYA : Seorang warga emas maut selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima, Kepong, dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa berusia 76 tahun dikatakan menagih hutang RM250 daripada rakan lamanya sehingga tercetus pergaduhan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pergaduhan membabitkan dua lelaki berkenaan berlaku di hadapan kedai yang mana kira-kira 100 meter lokasi mangsa ditemukan meninggal dunia.
“Dalam pergaduhan itu, mangsa dipukul suspek berusia 63 tahun menggunakan sebuah kerusi plastik, manakala mangsa membalas serangan suspek menggunakan rod kabel,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Eng Lai berkata, pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang berada di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian beredar dengan berjalan sebelum rebah dan meninggal dunia di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian.
“Kami menahan suspek ketika dia hadir di Balai Polis Kepong bagi membuat laporan berhubung pergaduhan itu kira-kira pukul 11 pagi tadi (kelmarin),” jelasnya.



























