Hajiji (kanan) melancarkan laman sesawang ECoS sambil diperhatikan oleh Abdul Nasser.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor melancarkan laman sesawang rasmi Energy Commission of Sabah (ECoS) di Mini Auditorium Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr.Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Menteri-Menteri Kabinet, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong, Pembantu-pembantu Menteri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Tenaga Sabah, Ir. Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.
Dalam ucapannya, Abdul Nasser berkata, sememangnya hari ini merupakan titik pencapaian yang bersejarah untuk Sabah dalam proses mengambil alih kuasa kawal selia sektor tenaga.
Ianya merupakan satu titik permulaan ke arah aspirasi Negeri Sabah untuk mengawal selia sektor tenaganya sendiri, tambahnya.
“Hasil usaha berterusan semua pihak yang terlibat di bawah kepimpinan Ketua Menteri yang mengetuai sendiri beberapa siri mesyuarat dengan pihak Kerajaan Persekutuan, maka aspirasi Negeri Sabah untuk mengawal selia sektor tenaganya sendiri, khususnya Bekalan Gas ketika ini, telah menjadi realiti.
“Pihak kami juga amat menghargai kerjasama erat yang diberikan kepada pihak kami oleh pihak-pihak Kerajaan Negeri seperti Jabatan Peguam Negeri Sabah, Kementerian Kewangan Sabah, Sabah Energy Corporation dan lain-lain. Pihak kami juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini yang telah meluluskan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Enakmen Bekalan Gas 2023.
“Melalui kelulusan ini, Suruhanjaya Tenaga Sabah atau akan lebih dikenali sebagai “Energy Commission of Sabah” [ECoS] mula beroperasi untuk mengawal selia sektor bekalan gas (daratan/onshore) di Sabah dan akan mula mengorak langkah ke arah melaksanakan perancangan pembangunan industri gas daratan Sabah agar lebih efektif dengan kelebihan pengetahuan lanskap tempatan disamping memastikan ianya selari dengan halatuju dan perancangan pembangunan negeri,” kata Abdul Nasser.
Beliau berkata, salah satu langkah bagi memastikan peralihan kuasa kawalselia ini terlaksana dengan licin dan tanpa sebarang gangguan ke atas pemegang-pemegang lesen, maka bermula hari ini juga, laman sesawang dan perkhidmatan atas talian ECoS yang dilancarkan, adalah sedia untuk digunakan melalui pautan www.ecos.gov.my.
Jelasnya, ianya akan membolehkan sebarang permohonan berkaitan lesen, sijil serta hal-hal lain yang memerlukan kelulusan ECoS boleh dimajukan secara atas talian.
“Melalui laman ini juga, pelbagai bahan rujukan dapat diperolehi dan dimuat turun oleh umum seperti salinan enakmen, peraturan, garispanduan dll. Ianya juga akan mengetengahkan beberapa maklumat penting untuk pengetahuan umum berkenaan sektor tenaga.
“Laman sesawang beserta perkhidmatan atas talian yang dibangunkan bersama oleh pihak Unit Tenaga Negeri Sabah dan SabahNet ini telah juga mengetengahkan beberapa penambahbaikan berbanding sistem atas talian ST sebelum ini. Ianya bertujuan untuk memudahkan transaksi penggunaannya, sebagai contoh salinan sijil atau lesen boleh diperolehi secara elektronik tanpa perlu mengambil salinan fizikal di pejabat ECoS,” ujarnya.































