“Kami sedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak yang berwajib apabila dan sekiranya perlu” – Masidi
KOTA KINABALU: Suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan, kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan Kedua menyatakan demikian berikutan ada pihak-pihak yang tertentu yang mendakwa telah memperolehi sokongan lebih separuh daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah Kerajaan Negeri yang baharu.
“Adalah difahamkan bahawa ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa telah memperolehi sokongan lebih separuh daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah Kerajaan Negeri yang baharu.
“Sebagai makluman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin Kerajaan Negeri yang ada sekarang.
“Mereka termasuk kesemua tujuh ADUN Pakatan Harapan Sabah.
“Kami bersedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak yang berwajib apabila dan sekiranya perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.































