Joniston yang mewakili Ketua Menteri (empat dari kiri) bersama para peniaga Explore Sabah pada pelancaran platform itu di SICC, hari ini. Turut bersama ialah Presiden MAGEBS Datuk Abdullah Sibil (tiga dari kiri) dan Pengarah Urusan MSH Mega Tech Datuk Shaiful Harun (empat dari kanan).
KOTA KINABALU: Program Explore Sabah berpotensi menjadi platform untuk memperkenalkan budaya, makanan etnik, kraftangan dan produk tempatan Sabah kepada khalayak lebih luas, termasuk pelawat domestik dan antarabangsa, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, program itu bukan sekadar inisiatif mempromosikan destinasi pelancongan, tetapi juga usaha strategik untuk mengetengahkan keunikan Sabah, memperkenalkan identiti masyarakatnya serta menghubungkan khazanah warisan negeri dengan peluang ekonomi yang lebih luas.
“Sabah mempunyai kepelbagaian tarikan pelancongan yang luar biasa, daripada keindahan alam semula jadi dan pulau-pulau yang menakjubkan kepada kekayaan budaya, makanan tradisional, kraftangan serta pengalaman berasaskan komuniti.
“Bayangkan pelawat datang ke Sabah bukan sahaja untuk menikmati keindahan alam semula jadinya, tetapi juga untuk menikmati makanan tradisional, membeli kraftangan tempatan, mengunjungi tarikan kebudayaan dan menyokong perniagaan komuniti.
“Melalui pendekatan ini, pengalaman pelancongan menjadi lebih bermakna, manakala perbelanjaan pelawat mewujudkan peluang menjana pendapatan kepada lebih ramai penduduk tempatan.
“Inilah pendekatan yang perlu kita perkukuh, menjadikan pelancongan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang turut memberi manfaat kepada masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya pada pelancaran program Explore Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.
Ketua Menteri mengucapkan tahniah kepada Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) dan MSH Mega Tech Sdn Bhd atas inisiatif memperkenalkan Explore Sabah, sebuah platform yang menggabungkan kekayaan warisan budaya, pelancongan, teknologi digital dan keusahawanan tempatan Sabah.
Beliau berharap inisiatif itu terus berkembang dengan melibatkan lebih banyak komuniti dan daerah supaya tarikan serta warisan unik Sabah dapat diketengahkan secara lebih menyeluruh.
Hajiji berkata cabaran pada masa ini adalah memastikan khazanah warisan Sabah bukan sekadar dipelihara, tetapi turut dimanfaatkan untuk mewujudkan peluang pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan penjanaan pendapatan kepada rakyat.
“Kita perlu melangkah lebih jauh dengan menghubungkan warisan budaya dengan inovasi, pelancongan dengan aktiviti ekonomi berasaskan komuniti, serta produk tempatan dengan pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan mahu sektor pelancongan bukan sahaja meningkatkan jumlah ketibaan pelawat, tetapi turut menjana manfaat ekonomi yang lebih luas kepada rakyat, khususnya usahawan kecil, peniaga tempatan dan masyarakat luar bandar.
Sementara itu, Hajiji berkata transformasi digital yang kini menjadi keperluan untuk meningkatkan daya saing dan membuka akses kepada peluang pasaran lebih luas tidak seharusnya hanya dinikmati syarikat besar atau perniagaan yang sudah kukuh.
Usahawan kecil, pengusaha kraftangan, pengusaha makanan, pengusaha homestay dan masyarakat luar bandar juga perlu diberi peluang untuk turut serta, katanya.
Beliau menyambut baik inisiatif MAGEBS dan rakan teknologinya, MSH Mega Tech Sdn Bhd, memperkenalkan MAGEBS (SABAH) Smart Card sebagai pemudah cara digital bagi menyokong pelaksanaan Explore Sabah.
“Saya melihat pendekatan ini sebagai satu inisiatif yang selari dengan keperluan semasa. Explore Sabah mengetengahkan keunikan negeri dan pengalaman yang ditawarkan, manakala Smart Card boleh menghubungkan pengalaman tersebut dengan produk, perkhidmatan dan perniagaan tempatan.
“Saya berharap platform ini dapat membantu meningkatkan keterlihatan perniagaan tempatan, memperluas penyertaan dalam bidang keusahawanan serta membuka peluang untuk meneroka pasaran baharu,” katanya.
Hajiji turut menyeru persatuan etnik agar terus memelihara adat resam, bahasa, seni dan warisan masing-masing supaya dapat diwariskan kepada generasi kini dan akan datang.
“Kepada usahawan dan peniaga, teruslah berinovasi, meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan serta berani meneroka pasaran baharu.
“Kepada generasi muda, manfaatkan sepenuhnya teknologi sebagai platform untuk mengembangkan kemahiran, menjana idea dan mewujudkan peluang ekonomi,” katanya.






























