Ewon melawat Rumah Mesra SMJ yang telah siap dibina untuk Jerming.
KOTA BELUD: Impian Jerming Ning Bakait untuk memiliki kediaman sendiri yang lebih selamat dan selesa buat keluarganya akhirnya tercapai menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Kampung Purak Ogis, Kadamaian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick hari ini meninjau rumah berkenaan yang telah siap dibina, susulan kunjungannya menziarahi keluarga itu pada 21 Februari lalu.
Dalam kunjungan terdahulu, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III meneliti permohonan bantuan Rumah SMJ yang dikemukakan oleh Jerming serta tapak yang dicadangkan bagi pembinaan rumah baharu itu.
Ketika itu, rumah lama Jerming sudah uzur dan tidak lagi selamat didiami, menyebabkan beliau dan keluarganya terpaksa tinggal bersama ahli keluarga lain dalam sebuah rumah yang dihuni seramai 20 orang, termasuk lima adik-beradik yang masing-masing sudah berkeluarga.

Rumah lama Jerming yang uzur dan tidak selamat didiami.
Ewon melahirkan rasa syukur apabila rumah berkenaan telah siap dibina, sekali gus merealisasikan impian keluarga Jerming untuk memiliki kediaman sendiri.
“Pada bulan Februari tahun ini, saya berkunjung ke rumah beliau, meneliti permohonan dan tapak yang dicadangkan.
“Syukur Rumah SMJ telah dibina dan pastinya akan memberikan keselesaan,” katanya.
Pembinaan rumah baharu itu bukan sahaja menyediakan kediaman yang lebih selamat dan selesa kepada keluarga Jerming, malah membantu meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Program Rumah Mesra SMJ merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Sabah bagi membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Menerusi Belanjawan Sabah 2026, Kerajaan Negeri meningkatkan kuota pembinaan Rumah Mesra SMJ daripada 40 kepada 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daripada jumlah itu, 10 unit bagi setiap DUN dikhaskan kepada golongan berumur 40 tahun dan ke bawah yang sudah berumah tangga tetapi belum memiliki kediaman sendiri.
































