KOTA KINABALU (Bernama) : Sabah FC bertekad bangkit dan memperbaiki prestasi apabila berdepan Selangor FC dalam aksi Liga Super 2026/2027 di Stadium Likas di sini esok, dengan sasaran mempamerkan permainan lebih meyakinkan di hadapan penyokong sendiri.
Ketua Jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido berkata pasukan tidak berpuas hati dengan keputusan ketika menentang Kelantan sebelum ini dan mahu menampilkan aksi lebih baik dalam pertemuan menentang Selangor FC.
Beliau berkata keadaan cuaca serta kualiti padang yang kurang memuaskan dalam tiga perlawanan terakhir turut memberi kesan kepada corak permainan pasukan.
“Saya berharap keadaan padang Stadium Likas lebih baik selepas persiapan dilakukan pihak berkaitan bagi memastikan permukaan padang berada dalam keadaan sesuai untuk perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Juan berkata pertemuan menentang Selangor FC merupakan peluang penting bagi Sabah FC memperlihatkan peningkatan dari segi kerjasama berpasukan, kesungguhan dan mentaliti untuk memburu kemenangan.
Mengulas kekuatan lawan, beliau menyifatkan Selangor FC sebagai pasukan yang perlu diberikan perhatian, khususnya dari segi organisasi pertahanan dan keupayaan melancarkan serangan balas yang berbahaya.
Beliau berkata berdasarkan dua pertemuan terdahulu, Selangor FC dijangka lebih menggunakan pendekatan bertahan dengan menurunkan lima pemain pertahanan semula jadi, selain mengutamakan keberkesanan serangan berbanding penguasaan bola.
Dalam pada itu, Juan mengakui Sabah FC masih berdepan cabaran kekurangan pemain susulan kecederaan beberapa tonggak utama, sekali gus memaksanya melakukan perubahan dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap.
Beliau bagaimanapun menegaskan aspek mentaliti sepanjang perlawanan menjadi antara perkara utama yang perlu diperbaiki bagi memastikan Sabah FC mampu memberikan persembahan terbaik kepada penyokong.
Juan berharap pemain dapat membalas sokongan penyokong dengan aksi lebih berkualiti dan seterusnya memperoleh keputusan positif dalam pertemuan menentang Selangor FC. — BERNAMA
































