Abidin Marjan
KOTA KINABALU (Bernama): Semua sekolah di Pantai Timur Sabah beroperasi seperti biasa hari ini dan tidak ada yang dilaporkan terjejas susulan gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan sejak semalam, kata Pengarah Pendidikan negeri Abidin Marjan.
Beliau berkata sesi pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah di kawasan tersebut juga berjalan seperti biasa, manakala peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan disambung semula pada Isnin selepas tiada peperiksaan dijadualkan berlangsung pada hari ini.
“Tidak ada yang terjejas. Semua sekolah beroperasi seperti biasa. Hari ini tiada peperiksaan (SPM), bersambung hari Isnin (bagi) kertas berikutnya,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
Semalam, Abidin memberitahu Bernama bahawa kesemua 42,808 calon SPM di negeri ini termasuk yang menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan disediakan di Pantai Timur Sabah tidak terjejas akibat gangguan bekalan elektrik berkenaan.
Peperiksaan yang berlangsung sejak Isnin lepas itu berjalan lancar setakat ini, walaupun berdepan dengan cabaran gangguan bekalan elektrik di kawasan tersebut dan banjir di daerah pedalaman Sook.
Kejadian pada 6.04 pagi semalam itu memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, mengganggu bekalan elektrik di lapan daerah dan menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar. Sabah Electricity menyasarkan untuk memulihkan bekalan elektrik itu pada 2 Dis ini atau lebih awal.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-8525427. — BERNAMA
































