PUTRAJAYA (Bernama): Orang ramai yang ingin mengemukakan aduan berhubung salah laku pegawai penguat kuasa kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) boleh berbuat demikian menerusi nombor WhatsApp baharu, 03-8880 5650 mulai hari ini.
EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan nombor baharu itu menggantikan nombor 019-355 5215 yang digunakan sebelum ini.
Menurut Suruhanjaya itu, perkhidmatan WhatsApp Aduan EAIC diperkenalkan pada 1 April 2024 sebagai saluran tambahan bagi memudahkan orang ramai mengemukakan aduan berhubung salah laku pegawai penguat kuasa.
“Sejak diperkenalkan, aduan melalui saluran ini boleh dikemukakan secara bertulis dengan menaip ADUAN SALAH LAKU, diikuti nama pengadu, maklumat untuk dihubungi, nama agensi yang diadukan dan butiran aduan. Pengadu boleh melampirkan foto, video atau dokumen sokongan sekiranya ada,” menurut kenyataan itu.
Selain WhatsApp, EAIC memaklumkan orang ramai boleh mengemukakan aduan menerusi Sistem Penyelesaian Aduan dan Pengendalian Siasatan (SPAPS) di https://spaps.eaic.gov.my atau e-mel kepada aduan@eaic.gov.my.
Aduan juga boleh dikemukakan secara bersemuka di Kaunter Aduan dan Pusat Khidmat Pelanggan EAIC di Aras G, Menara Usahawan, Putrajaya.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi portal rasmi EAIC di www.eaic.gov.my. — BERNAMA
































