Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan membawa atase pertahanan dan wakil perdagangan negara asing melawat POIC Lahad Datu bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap tahap keselamatan di pantai timur Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata lawatan itu penting untuk memberi gambaran lebih jelas kepada bakal pelabur dari negara seperti Jepun, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat mengenai keadaan keselamatan serta potensi pembangunan industri di kawasan berkenaan.
Beliau berkata syarikat yang berhasrat melabur di Lahad Datu perlu mempunyai keyakinan terhadap keselamatan lokasi operasi, termasuk kemudahan membawa masuk mesin melalui pelabuhan, melatih pekerja tempatan dan menghantar hasil pengeluaran kepada pelanggan.
“Berdasarkan maklumat Pesuruhjaya Polis Sabah, tiada kes penculikan rentas sempadan direkodkan di Sabah sejak 15 Januari 2020, sekali gus mencerminkan usaha berterusan pasukan keselamatan dalam memastikan kestabilan kawasan berkenaan,” kata Madius yang juga Pengerusi POIC Sabah ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Madius turut mengambil maklum bahawa Jepun menurunkan tahap nasihat perjalanan bagi kawasan pesisir dari Kudat hingga Tawau pada Jun lalu, walaupun nasihat supaya mengelakkan perjalanan tidak penting masih terpakai di pulau-pulau tertentu di luar pesisir.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pertahanan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Wisma Putra bekerjasama menjemput atase pertahanan serta wakil perdagangan negara asing ke POIC Lahad Datu.
Lawatan itu dicadangkan merangkumi tinjauan kemudahan pelabuhan dan tapak industri, pertemuan dengan pengusaha serta taklimat keselamatan.
Beliau turut mencadangkan supaya lawatan berkenaan disertakan peta yang menunjukkan kedudukan POIC serta kawasan yang masih tertakluk kepada nasihat perjalanan negara masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan bakal pelabur.
Katanya, matlamatnya adalah memastikan pantai timur Sabah mencapai tahap keyakinan keselamatan yang mampu menarik lebih ramai pelabur untuk membina kilang, melatih tenaga kerja tempatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda di Lahad Datu.
Sementara itu, Madius meminta penjelasan Kementerian Pertahanan mengenai penggunaan peruntukan tambahan RM3.3 juta bagi pengoperasian ESSZONE pada 2027, khususnya untuk penyelenggaraan bot rondaan dan peralatan pengawasan keselamatan.
Beliau berkata Kementerian Pertahanan memohon peruntukan RM133.45 juta bagi pengoperasian ESSZONE pada 2027, dengan peningkatan RM3.3 juta diperuntukkan untuk perkhidmatan dan bekalan.
“Peningkatan keupayaan operasi keselamatan di kawasan pantai timur Sabah memerlukan sokongan aset yang mencukupi, termasuk bot rondaan dan peralatan pengawasan bagi memastikan pemantauan kawasan pulau serta pesisir dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Saya meminta penjelasan secara khusus mengenai jumlah daripada peruntukan tambahan itu yang akan digunakan untuk penyelenggaraan bot dan peralatan pengawasan,” katanya.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata penyelenggaraan aset dan kelengkapan keselamatan perlu diberikan perhatian bagi memastikan keberkesanan operasi di kawasan berkenaan.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kesinambungan sokongan operasi kepada anggota keselamatan yang bertugas di laut susulan pengambilalihan peranan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan pada Jun lalu.
Katanya, beliau mahu mengetahui sama ada pertukaran pangkalan hadapan itu dapat mengekalkan tahap sokongan kepada anggota yang bertugas di kawasan operasi, selain mendapatkan penjelasan mengenai kos tahunan pengoperasian kapal berkenaan.
Melalui Operasi PASIR, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memainkan peranan penting menjaga keselamatan pulau dan kawasan pesisir serta melaksanakan rondaan bagi membendung sebarang ancaman keselamatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Madius turut meminta penyelarasan operasi keselamatan antara ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan perairan sekitar Pulau Ligitan dan Sipadan terpelihara.
Beliau berkata peranan ESSCOM dalam menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan amat penting bagi memastikan rondaan dan tindak balas terhadap sebarang insiden di kawasan berkenaan berjalan lancar.
Katanya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini memutuskan bahawa Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan adalah milik Malaysia, manakala penetapan sempadan maritim di kawasan yang masih dipertikaikan dengan Indonesia terus ditangani melalui rundingan dua hala.
“Dalam keadaan rundingan sempadan masih diteruskan, aspek keselamatan perairan perlu diberikan perhatian bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan bagaimana penyelarasan antara ATM, PDRM dan Maritim Malaysia melalui ESSCOM dapat memastikan rondaan serta tindak balas terhadap insiden keselamatan di perairan sekitar Ligitan dan Sipadan berjalan lancar.
Madius berkata kerjasama antara agensi keselamatan amat penting bagi memastikan keberkesanan kawalan keselamatan di kawasan perairan strategik Sabah, khususnya ketika rundingan sempadan maritim Malaysia-Indonesia masih berjalan.
Beliau menegaskan keselamatan perairan sekitar Ligitan dan Sipadan perlu terus diberikan perhatian bagi memastikan kepentingan serta kedaulatan Malaysia di kawasan berkenaan sentiasa terpelihara.




























