KOTA KINABALU: Kota Kinabalu dikenal pasti sebagai destinasi untuk memperluas pelaksanaan langkah pelancongan pintar dan mampan menerusi projek antarabangsa yang dibiayai bersama oleh Program Erasmus+ Kesatuan Eropah (EU).
Cadangan itu merupakan sebahagian daripada dapatan dasar Malaysia bagi projek SOHO, singkatan kepada Smart, Optimized, High-Quality and On-Demand Tourism: Innovative Education for Sustainable and Green Development.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata dapatan itu relevan dengan usaha Sabah memperkukuh industri pelancongan serta menangani cabaran dalam bidang pengangkutan, penggunaan tenaga dan pembangunan tenaga kerja.
“Seiring dengan peningkatan jumlah pelawat ke Sabah, kita mesti memastikan pertumbuhan sektor pelancongan diuruskan secara bertanggungjawab.
“Kerajaan Negeri sedang berusaha menambah baik kesalinghubungan dan pengangkutan awam, mempromosikan kecekapan tenaga serta menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian daripada keutamaan pembangunan Sabah yang lebih luas,” katanya ketika merasmikan Persidangan Akhir Projek Rentas Negara SOHO di sini, hari ini.
Projek itu memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu pengangkutan pintar, penginapan mampan dan tenaga boleh diperbaharui, dengan matlamat meningkatkan pendidikan pelancongan serta amalan industri.
Joniston berkata Sabah telah mengambil langkah dalam bidang berkenaan menerusi Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah, Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah serta Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.
Beliau turut menekankan keperluan melengkapkan tenaga kerja secara lebih meluas, termasuk petugas pelancongan, pendidik dan pegawai kerajaan, dengan kemahiran menggunakan peralatan digital serta mengamalkan amalan mampan dalam bidang masing-masing.
Tinjauan keperluan latihan SOHO mendapati 85 peratus pelajar yang disurvei tidak mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang pelancongan pintar, sekali gus menunjukkan jurang antara pendidikan dengan keperluan industri.
Kursus, kelayakan mikro dan Pusat Pengetahuan dan Kompetensi yang diperkenalkan menerusi projek itu bertujuan membantu menangani jurang berkenaan.
Mesyuarat akhir selama dua hari itu, yang dianjurkan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), menghimpunkan rakan universiti dari Malaysia, Perancis, Itali, Romania, Vietnam dan Bangladesh di Le Méridien Kota Kinabalu dari 25 hingga 26 November.
Sementara itu, tuan rumah persidangan, Prof Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai dari USM berkata pemilihan Sabah sebagai lokasi mesyuarat akhir itu dibuat secara sengaja.
“Sabah memperlihatkan kepentingan pelancongan mampan. Negeri ini mempunyai khazanah alam semula jadi dan budaya bertaraf dunia serta jumlah pelawat yang semakin meningkat.
“Matlamat SOHO adalah untuk menyediakan universiti, industri dan kerajaan dengan kemahiran serta bukti bagi menguruskan pertumbuhan itu secara bijaksana, dan kami berharap Sabah menjadi antara pihak pertama yang mendapat manfaat,” katanya.
Pada persidangan itu, Ketua Projek SOHO, Prof Dr Vladimir Tanasiev dari POLITEHNICA Bucharest membentangkan gambaran keseluruhan hasil projek berkenaan, diikuti pembentangan daripada institusi rakan kerjasama.
Antaranya termasuk Université Lumière Lyon 2 (Perancis), Politecnico di Milano (Itali), POLITEHNICA Bucharest (Romania), The University of Danang dan University of Technology and Education (Vietnam), Jahangirnagar University dan American International University-Bangladesh (Bangladesh), serta UTAR dan USM.
Majlis pembukaan turut dihadiri Presiden Senat POLITEHNICA University of Bucharest, Prof Dr Tudor Prisecaru, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sabah/Labuan, Suresh M Ramasamy, serta penganjur bersama, Prof Choong Chee Keong dari UTAR, selain wakil Program Erasmus+.




























