TENGHILAN: Dalam usaha memperkasakan bakat dan talenta umat serta meningkatkan mutu pelayanan koir dan muzik gereja, Tim Belia dengan kerjasama Komiti Koir dan Muzik Chapel St Maria Goretti Kg Molisau dan Saradan telah menganjurkan Bengkel Vokal Bersama Rhowell Rolland, sini.
Bengkel yang berlangsung selama dua jam itu, merupakan satu inisiatif pembangunan bakat, khususnya dalam kalangan golongan belia, ahli koir serta umat yang mempunyai minat dalam bidang nyanyian dan muzik.
Program tersebut memberi pendedahan kepada para peserta mengenai teknik nyanyian yang betul, teknik pernafasan, kawalan suara serta asas harmonisasi bagi meningkatkan kualiti nyanyian dalam pelayanan gereja.
Penganjuran bengkel itu juga selaras dengan visi Chapel untuk melahirkan komuniti umat Katolik yang beriman, berbakat dan bersemangat dalam pelayanan menerusi bidang koir dan muzik gereja demi kemuliaan Tuhan.
Selain meningkatkan kemahiran vokal, program berkenaan turut bermatlamat memperkasakan pelayanan liturgi dalam Misa Kudus dan aktiviti kerohanian, menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam kehidupan menggereja serta memupuk semangat kebersamaan, kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan umat.
Inisiatif seumpama ini juga merupakan sebahagian daripada usaha melahirkan generasi pelapis yang berkemahiran, berdisiplin dan komited bagi memastikan kesinambungan pelayanan koir dan muzik gereja pada masa hadapan.
Pada penghujung program, Pengerusi Komiti Pastoral Umat Katolik (KPUK) Chapel St Maria Goretti Kg Molisau dan Saradan Samuin @ Hillary Ondong telah menyampaikan cenderahati kepada Rhowell Rolland sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas kesudian beliau berkongsi ilmu, kemahiran serta kepakaran dalam bidang vokal.
Satu lagi program susulan dijangka diadakan pada awal Disember ini sebagai kesinambungan kepada bengkel tersebut, sekali gus memperkukuh usaha pembangunan bakat dan kemahiran muzik dalam kalangan umat Chapel.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat pelayanan, khususnya dalam kalangan generasi muda, untuk mengembangkan dan memanfaatkan setiap talenta yang dikurniakan Tuhan demi kemuliaan-Nya.






























