Joniston (tengah) menyempurnakan pelepasan Larian Harmoni 3.0 di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
KOTA KINABALU: Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah perlu diketengahkan sebagai antara tarikan pelancongan negeri ini, selain keindahan alam semula jadinya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang hidup bersama dalam suasana aman serta saling menghormati merupakan keistimewaan Sabah.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata keharmonian itu mampu menarik lebih banyak perhatian pelancong dari seluruh dunia.
“Sabah merupakan sebuah negeri yang cukup istimewa. Kita terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, namun tetap hidup bersama dalam suasana aman dan saling menghormati.
“Inilah keindahan Sabah. Perbezaan bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan kita.
“Saya yakin apabila masyarakat dunia mengetahui bahawa kita hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni walaupun berbeza etnik, kaum dan agama, Sabah akan menarik lebih banyak perhatian daripada bakal pelancong,” katanya ketika menyempurnakan pelepasan Larian Harmoni 3.0 di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Joniston turut merakamkan penghargaan atas kehadiran Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Awang Juri Awang Tahir serta wakil komuniti Kristian, Sikh dan Buddha pada acara berkenaan.
Katanya, kehadiran wakil pelbagai agama itu membuktikan semangat perpaduan bukan sekadar diungkapkan melalui kata-kata, tetapi turut diamalkan dalam kehidupan masyarakat.
“Kehadiran mereka membuktikan bahawa semangat perpaduan bukan sekadar diungkapkan melalui kata-kata, tetapi sesuatu yang kita amalkan bersama.
“Larian Harmoni membawa mesej yang amat bermakna. Di garisan permulaan, kita mungkin datang daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang, tetapi kita semua berlari dengan satu semangat yang sama, iaitu semangat kebersamaan,” katanya.
Sementara itu, Joniston mencadangkan supaya acara berkenaan dijenamakan semula sebagai Larian Harmoni Antarabangsa Sabah berikutan kejayaannya menarik penyertaan pelari antarabangsa dari Eropah, Kanada dan Singapura.
Larian Harmoni 3.0 anjuran KSRUN Athletic Club itu disertai seramai 2,650 pelari.
Pengerusi penganjur Wendy John berkata persiapan akan dibuat lebih awal bagi penganjuran tahun hadapan dengan sasaran menarik lebih ramai penyertaan antarabangsa.
































