KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 31 tahun maut selepas dipercayai ditikam di tangga sebuah premis perniagaan di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, awal pagi tadi.
Mangsa dibawa ke Hospital Likas oleh ahli keluarganya dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata pihak polis menerima maklumat daripada Jabatan Kecemasan Hospital Likas pada jam 6.43 pagi mengenai kejadian itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang lelaki berusia 38 tahun terhadap seorang penjual makanan di luar sebuah kafe.
Menurutnya, suspek dikatakan bertengkar dengan penjual makanan berkenaan sebelum cuba menikamnya menggunakan pisau lipat.
Penjual makanan itu sempat melarikan diri, namun dikejar suspek sehingga ke sebuah pusat snuker berhampiran.
Mangsa yang berada di lokasi kejadian cuba menghalang suspek daripada terus mengejar penjual makanan berkenaan.
Suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong daging dan menikam mangsa apabila terserempak dengannya di tangga bersebelahan premis berkenaan.
Mangsa sempat melarikan diri sebelum rebah di kawasan parkir kenderaan berhampiran.
Syed Lot berkata, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menemui beberapa barang kes serta sampel untuk dianalisis.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat yang dijadualkan pada 15 November bagi menentukan punca sebenar kematian.
SEMENTARA ITU, polis sedang giat mengesan dan menangkap suspek, manakala usaha mengesan saksi lain yang berada di sekitar lokasi kejadian turut diteruskan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, termasuk lokasi suspek, diminta membantu siasatan dengan menghubungi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
































