Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU (Bernama): Program Jualan Agro MADANI terus menjadi platform bagi memperluas akses pasaran petani, penternak dan nelayan menerusi pemasaran produk pertanian serta agromakanan secara langsung kepada pengguna sekali gus mengurangkan penglibatan orang tengah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata inisiatif di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu juga membolehkan pengguna mendapatkan produk berkaitan pada harga berpatutan.
“Inisiatif ini dilaksanakan di seluruh negara dan kita amat mengalu-alukan penganjurannya di Sabah dan Sarawak kerana ia menjadi ruang untuk petani memasarkan hasil pertanian, selain menggalakkan masyarakat setempat menikmati harga barangan lebih murah.
“Justeru, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan agensi berkaitan berperanan membawa produk berasaskan pertanian ini untuk dipasarkan (melalui Jualan Agro MADANI) supaya ada akses lebih luas kepada pengguna,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau program Jualan Agro MADANI di Kampung Inanam, dekat sini, yang merupakan siri penganjuran terakhir bagi Parlimen Sepanggar pada tahun ini.
Mustapha berkata Kerajaan MADANI akan terus meningkatkan peruntukan bagi pelaksanaan program Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI dan inisiatif berkaitan pada tahun hadapan bagi memastikan rakyat dapat menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan.
Beliau berkata langkah itu penting sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup terutama dalam kalangan golongan B40 seterusnya membantu menjimatkan perbelanjaan harian mereka dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
“Kita akan sentiasa menambah baik penganjuran Jualan Agro MADANI (bagi Parlimen Sepanggar) dan memastikan semakin ramai masyarakat mendapat faedah daripada inisiatif ini,” katanya. — BERNAMA






























