KUALA LUMPUR (Bernama): Keputusan mempertandingkan 43 jenis sukan pada Sukan SEA 2027 di Malaysia dibuat secara kolektif dan dipersetujui kesemua 11 negara anggota Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Mohamad Norza menegaskan keputusan memuktamadkan acara berkenaan dilaksanakan selaras dengan Piagam dan Peraturan SEAGF, khususnya Peraturan 34 yang mengawal selia pemilihan serta kelulusan program sukan berkenaan.
Beliau berkata proses pemilihan jenis sukan bagi edisi ke-34 Sukan SEA dilaksanakan secara sistematik sejak 8 April lepas, dengan senarai awal melibatkan 38 jenis sukan dan memberikan ruang kepada persatuan sukan serta negara anggota untuk mengemukakan rayuan sebelum tarikh akhir sebulan kemudian.
“Ketika proses rayuan, sebanyak 29 sukan mahu dimasukkan dan perbincangan secara adil serta kolektif dibuat di peringkat kesemua 11 negara, dan keputusan akhirnya menambah lima jenis sukan, sekali gus menyaksikan 43 sukan diluluskan pada Julai.
“Kemudian baru-baru ini kami telah mengemukakan 473 acara dan ia dipersetujui oleh kesemua 11 negara,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-217 di sini hari ini.
Mohamad Norza berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia Erick Thohir yang dilaporkan mempersoalkan keputusan Malaysia menggugurkan beberapa acara yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik daripada saingan Sukan SEA 2027 baru-baru ini.
Antara sukan yang tidak disenaraikan pada Sukan SEA 2027 adalah memanjat tembok, mendayung, bola tampar pantai, gusti dan bola baling.
Mohamad Norza, yang juga Presiden SEAGF, ketika mengulas sama ada terkejut dengan bantahan dibangkitkan Indonesia berkata beliau menghormati pandangan negara jiran itu dan mereka berhak menyuarakan perkara berkenaan.
“Bagi saya, itu hak mereka untuk membangkitkan perkara itu tetapi seperti yang saya katakan, tanggungjawab saya sebagai Presiden SEAGF. Sudah tentu saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari kerana bersama-sama saya sewaktu proses (rayuan).
“Kami juga meneliti rayuan dikemukakan dan keputusan itu dibuat selepas melihat kepada semua rayuan yang dibawa,” katanya.
Sukan SEA 2027 akan berlangsung di empat kluster melibatkan Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dari 18 hingga 29 Sept 2027. — BERNAMA






























