KOTA KINABALU: Lebih ramai golongan belia perlu digalakkan menceburi industri agromakanan bagi memastikan sektor pertanian Sabah terus berkembang sebagai industri moden yang mampu menjana kekayaan baharu dan peluang pekerjaan.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata seruan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor supaya lebih ramai belia menyertai industri berkenaan wajar diberikan perhatian serius oleh semua pihak.
Katanya, sektor pertanian, penternakan dan perikanan mempunyai potensi besar untuk menjadi sumber ekonomi baharu, khususnya kepada golongan muda yang ingin membina kerjaya atau mengusahakan perniagaan sendiri.
“Persepsi bahawa pertanian hanya bergantung kepada kaedah tradisional perlu diubah. Industri ini mempunyai ruang luas untuk berkembang sebagai bidang perniagaan moden, produktif dan mampu memberikan pulangan ekonomi.
“Penglibatan golongan muda amat penting bagi memastikan sektor agromakanan mempunyai tenaga kerja baharu yang mampu membawa idea, inovasi dan pendekatan lebih segar dalam industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi Ahli Jemaah Pengarah PPNS mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Nazri berkata usaha menarik minat golongan belia perlu disertai pendedahan, latihan kemahiran dan peluang untuk mereka terbabit secara langsung dalam aktiviti pertanian, penternakan serta perikanan.
Katanya, pembangunan industri agromakanan juga perlu memberi tumpuan kepada penghasilan produk bernilai tambah, termasuk aktiviti pemprosesan dan pemasaran bagi memperluas peluang perniagaan dalam kalangan pengusaha muda.
Beliau turut menyambut baik penekanan Ketua Menteri terhadap keperluan mentransformasikan sektor pertanian, penternakan dan perikanan daripada kaedah tradisional kepada sistem pengeluaran yang lebih moden, cekap dan berorientasikan pasaran.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan sektor agromakanan Sabah terus berdaya saing serta mampu memenuhi permintaan pasaran tempatan dan lebih luas.
Nazri berkata PPNS menyokong hala tuju kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Sementara itu, beliau berkata kunjungan hormat berkenaan turut bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan PPNS kepada Ketua Menteri.
Dalam kunjungan itu, PPNS turut memohon sokongan Ketua Menteri supaya ahli peladang berusia 70 tahun ke atas yang masih menjadi pemegang saham dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dibenarkan bertanding dan memegang jawatan dalam PPK atau Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), bagi membolehkan mereka terus menyumbang pengalaman dalam kepimpinan gerakan peladang.































