SEMPORNA: Persatuan Usahawan Semporna (PUS) akan membantu ahlinya mendapatkan maklumat mengenai peluang pembiayaan, latihan dan pembangunan perniagaan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
Penaung PUS Datin Saadiah Abdul Rashad berkata persatuan itu berperanan sebagai penghubung antara usahawan dengan agensi berkaitan, selain membantu ahli mengenal pasti kemudahan yang bersesuaian untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa PUS Bil. 2/2026 serta Majlis Meraikan Sukarelawan PUS di AKR Grill Batu 2, di sini, semalam.
Menurutnya, antara kemudahan kerajaan negeri yang boleh dimanfaatkan ialah geran mesin, peralatan dan pembangunan produk menerusi SME-UP di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR), pembiayaan S-SEED serta latihan keusahawanan RISE oleh SEDCO.
Katanya, usahawan wanita juga boleh mendapatkan maklumat mengenai program latihan dan keusahawanan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), manakala SEDCO turut menyediakan kemudahan premis perniagaan.
Di peringkat Persekutuan, katanya, terdapat beberapa agensi yang menawarkan sokongan kepada usahawan, termasuk TEKUN Nasional, MARA menerusi DanaNITA, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Saadiah turut mengingatkan usahawan supaya meneliti kemudahan pinjaman perniagaan yang menawarkan kadar faedah rendah serta bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan perniagaan masing-masing.
Beliau juga menggalakkan usahawan di Semporna menyertai program seperti Sabah Big Sales bagi membina jaringan perniagaan, memperkenalkan produk serta meneroka peluang kerjasama dengan usahawan tempatan dan antarabangsa.
“Peluang seperti ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh penjenamaan dan pemasaran produk, selain membuka ruang kepada usahawan meneroka pasaran eksport.
“Usahawan Semporna perlu merebut peluang yang ada supaya produk tempatan dapat berkembang ke pasaran lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan PUS menubuhkan biro mengikut bidang keusahawanan, dengan setiap biro diketuai jawatankuasa dan disokong ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.
Katanya, pembahagian tugas itu dapat memastikan gerak kerja persatuan lebih tersusun, selain mengukuhkan kerjasama dalam kalangan ahli.
Turut hadir, Pengerusi PUS Mohd Saiful Mad Sahirun; Timbalan Pengerusi Saridah Ab Lakata; Naib Pengerusi Kalsum Juhuri; serta barisan Ahli Jawatankuasa PUS.
Pada majlis itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada sukarelawan PUS sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka kepada persatuan.































