KENINGAU: Penduduk Kampung Bayangan Atas berharap kampung mereka diberikan status perkampungan secara rasmi bagi memastikan identiti dan kedudukan komuniti itu mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Perkara itu dibangkitkan ketika pertemuan bersama Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) P.180 Keningau Datuk Azman Ruslan yang turun padang mendengar sendiri permasalahan dan keperluan penduduk.
Selain isu pengiktirafan kampung, penduduk turut menyuarakan masalah bekalan air bersih yang semakin meruncing serta keperluan menyediakan kemudahan gelanggang sukan dan riadah.
Mengambil perhatian terhadap kesulitan berkenaan, Azman turut menyampaikan sumbangan kewangan bagi membantu usaha menangani masalah bekalan air bersih yang menjadi antara keperluan mendesak penduduk.
Beliau berkata pendekatan turun padang penting bagi membolehkan keadaan sebenar dikenal pasti menerusi pertemuan dan maklum balas secara langsung daripada masyarakat.
Menurutnya, setiap permasalahan rakyat perlu diberikan perhatian dan usaha mendengar sendiri suara penduduk menjadi langkah awal untuk mengenal pasti penyelesaian yang boleh diusahakan bersama pihak berkaitan.
Azman berkata beliau akan terus mendekati masyarakat bagi membawa isu dan keperluan penduduk Keningau kepada perhatian pihak berkenaan, khususnya membabitkan kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus mendengar suara rakyat dan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang dibangkitkan.






























