KUALA LUMPUR (Bernama): Penahanan seorang lelaki warga Hong Kong bersama kira-kira satu kilogram kokain yang disembunyikan di dalam kasut di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas tiba dari Kuala Lumpur pada Rabu lepas dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata perkara itu berdasarkan modus operandi, jenis dadah serta destinasi penghantaran yang hampir sama, iaitu Hong Kong, Jepun dan Indonesia.
“Kami percaya sindiket ini telah ditumpaskan dengan penangkapan seorang ketua sindiket warga Hong Kong dan perekrut warga tempatan seperti diumumkan pada sidang media semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media hari ini melaporkan seorang lelaki warga Hong Kong berusia 36 tahun ditahan pada Rabu lepas bersama kokain dianggarkan bernilai HK$600,000 (RM311,000) semasa pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas tiba dari negara ini.
Hussein berkata PDRM telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Hong Kong mengenai penahanan dan rampasan dadah itu, dan kedua-dua pihak turut berkongsi maklumat berkaitan.
Beliau berkata kokain berkenaan bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya negara ini dipercayai digunakan sebagai hab transit sebelum dadah diseludup ke negara destinasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Semalam, media melaporkan PDRM menahan empat individu, termasuk seorang dalang sindiket warga Hong Kong dalam operasi di sebuah inap desa di Brickfields di sini pada 5 Nov lepas.
Dalam operasi itu, polis turut merampas 450 gram kokain dan dua pasang kasut yang dipercayai akan diserahkan kepada dua individu yang direkrut sebagai keldai dadah.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak September lepas itu dikenal pasti merekrut rakyat Malaysia untuk menyeludup dadah ke luar negara, termasuk lima individu yang ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta dan lima lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo pada September dan Oktober lepas. — BERNAMA




























