Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR (Bernama): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan sikap pembangkang yang didakwanya tidak memberi perhatian terhadap isu kerugian RM9 bilion, membabitkan projek saluran paip gas di Sabah, meskipun perkara itu melibatkan dana negara yang begitu besar.
Beliau berkata walaupun kerajaan berjaya mendapatkan semula RM5 bilion daripada jumlah kerugian itu, isu tersebut masih tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pembangkang, termasuk dalam perbahasan di Parlimen.
“Hari Selasa, saya keluarkan (maklumat) lagi RM9 bilion ringgit lesap oleh kerana projek gas di Sabah oleh Kerajaan Persekutuan pada masa itu pada 2016. Kita dapat pulangkan balik RM5 bilion…Tak ada kesan.
“Saya tengok belum ada perbahasan di Parlimen oleh pembangkang. Hilang RM3 bilion, okey. Hilang FELCRA, okey. Hilang Tabung Haji, okey. Ini politik apa, tak matang,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, Ampang, dekat sini kelmarin.
Perdana Menteri berkata isu kehilangan dana negara sepatutnya diberi perhatian serius tanpa mengira kepentingan politik, selain menegaskan perlunya perubahan dalam budaya politik negara yang lebih memberi tumpuan kepada agenda pembangunan.
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa siasatan terhadap dua projek saluran paip gas bernilai RM9.4 bilion yang dibatalkan, iaitu Projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) masih diteruskan, susulan penemuan unsur penyelewengan berdasarkan laporan yang diterima kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berkata siasatan itu berdepan kesukaran mendapatkan maklumat, kerana membabitkan dua negara. — BERNAMA






























