Julita (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Haisah, sambil diperhatikan Rina (kanan) dan Chong.
KOTA KINABALU: Seramai 80 ibu tunggal asal Sabah yang menetap di Kuala Lumpur menerima sumbangan kebajikan berjumlah RM500 setiap seorang menerusi inisiatif Kerajaan Negeri Sabah mendekati rakyatnya di perantauan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, kerajaan negeri komited memastikan kebajikan rakyat Sabah terus diberi perhatian tanpa mengira lokasi mereka menetap.
Beliau berkata, ibu tunggal khususnya berdepan tanggungjawab besar dalam menguruskan keluarga dan membesarkan anak-anak, justeru sokongan serta perhatian berterusan penting bagi membantu mereka menghadapi cabaran kehidupan.
“Walaupun mereka menetap jauh dari Sabah, mereka tetap sebahagian daripada masyarakat kita. Sebab itu, kita mahu mendekati mereka, mendengar keperluan mereka dan memastikan mereka tidak terpinggir daripada usaha kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Menyantuni Ibu Tunggal Asal Sabah yang Menetap di Kuala Lumpur di Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, Jumaat.
Pada majlis itu, kementerian menyalurkan RM40,000 menerusi Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur untuk diagihkan kepada 80 ibu tunggal yang dikenal pasti, dengan setiap penerima menerima RM500.
Julita berkata, program berkenaan merupakan pendekatan kementerian untuk mendekati ibu tunggal asal Sabah di ibu negara melalui pertemuan secara langsung, selain memberi peluang memahami keadaan dan keperluan mereka dengan lebih dekat.
Katanya, kementerian bercadang meneruskan program seumpama itu pada tahun-tahun akan datang dengan turut memberi ruang kepada kumpulan ibu tunggal asal Sabah yang lain di Kuala Lumpur untuk disantuni.
Beliau turut menggalakkan golongan berkenaan mengambil peluang daripada pelbagai inisiatif bantuan dan kemudahan yang disediakan Kerajaan Persekutuan, khususnya yang boleh diakses di Kuala Lumpur, tertakluk kepada syarat kelayakan masing-masing.
Turut hadir Pembantu Menteri KWKKR, Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap KWKKR, Datuk Maria Chong; dan Timbalan Pengarah II Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, Haisah Daud.
Kapsyen: Julita (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Haisah, sambil diperhatikan Rina (kanan) dan Chong.






























