KUALA LUMPUR (Bernama): Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Keempat bernilai RM1.1 bilion dibuat bermula hari ini kepada lebih 5 juta penerima di seluruh negara, sebagai usaha berterusan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembayaran itu dibuat bersempena dengan sambutan Deepavali dan melibatkan penerima daripada pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata bantuan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, terus diberi keutamaan.
“Jadi, saya umumkan sempena Deepavali, mulai hari ini sampai 6 Nov, STR sebanyak RM1.1 bilion akan diberi kepada lebih lima juta rakyat,” katanya berucap semasa meninjau Bazar Mega Deepavali 2026 Brickfields di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bantuan STR bukan hanya tertumpu kepada kaum tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua rakyat yang memenuhi syarat kelayakan.
Beliau berkata masyarakat India turut menerima manfaat menerusi inisiatif itu dengan lebih 630,000 penerima, mewakili 7.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima STR di seluruh negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata peruntukan bantuan tunai kerajaan meningkat daripada RM6 bilion menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2018 kepada RM8 bilion menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada 2022.
Beliau berkata angka-angka berkenaan melonjak kepada RM15 bilion bagi peruntukan STR serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2026, sebelum ditingkatkan lagi kepada RM16 bilion menerusi Belanjawan 2027.
Perdana Menteri berkata peningkatan peruntukan itu membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh jaringan perlindungan sosial dan memastikan bantuan sampai kepada golongan memerlukan.
“Jadi, boleh banding. Boleh ucap terima kasih. Ada orang kata dulu pun ada. Betul. Dulu berapa? RM6 bilion. Sekarang berapa? RM16 bilion kepada rakyat, terutama masyarakat terbawah,” kata beliau. — BERNAMA
































