NIBONG TEBAL (Bernama): Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima 163 aduan berkaitan isu kualiti petrol RON95 setakat ini, membabitkan dua jenama stesen minyak.
Pengarahnya S. Jegan berkata semua sampel petrol RON95 yang diambil susulan aduan itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut, namun keputusan ujian masih belum diterima.
“Kes ini turut melibatkan beberapa negeri lain di zon tengah. Oleh itu, sebarang keputusan ujian dan maklumat berkaitan akan diumumkan ibu pejabat KPDN,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini, tular dalam media sosial dakwaan mengenai kandungan air dalam petrol RON95 yang mengakibatkan masalah pada kenderaan pengguna selepas mengisi bahan api berkenaan di beberapa stesen minyak di Pulau Pinang.
Jegan berkata terdapat satu percubaan untuk mengemukakan aduan, namun pengadu menarik balik aduan itu selepas dimaklumkan bahawa KPDN akan menjalankan pemeriksaan di stesen minyak berkenaan.
“Apabila dimaklumkan bahawa stesen minyak itu merupakan jenama pertama yang kita terima aduan dan akan diperiksa, pengadu menarik balik aduan berkenaan. Justeru, setakat ini hanya dua jenama stesen minyak sahaja yang kita terima aduan,” katanya. — BERNAMA
































