Julita (lima kanan) memotong kek sempena Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Negeri Sabah.
MATUNGGONG: Penjagaan kesihatan warga emas perlu mengambil kira tahap keupayaan dan keadaan kesihatan setiap individu bagi memastikan perkhidmatan serta sokongan yang diberikan bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki berkata warga emas mempunyai tahap kesihatan dan keupayaan fizikal yang berbeza, justeru pendekatan penjagaan tidak boleh diseragamkan berdasarkan faktor usia semata-mata.
Menurutnya, terdapat warga emas yang masih sihat dan mampu menjalani kehidupan secara berdikari, manakala sebahagian yang lain memerlukan sokongan untuk mengekalkan keupayaan diri atau bantuan dalam mengurus kehidupan harian.
“Penjagaan perlu disesuaikan dengan keadaan setiap individu. Matlamatnya bukan sekadar memenuhi keperluan rawatan, tetapi juga membantu warga emas mengekalkan keupayaan, kebebasan dan maruah mereka,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Terbuka Matunggong, di sini, kelmarin.
Julita berkata pendekatan itu selaras dengan konsep Penuaan Sihat (Healthy Ageing) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang turut menjadi asas kepada Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pelan berkenaan merangkumi pelbagai perkhidmatan termasuk saringan dan penilaian kesihatan, pemeriksaan perubatan, rawatan, kaunseling, rujukan serta perawatan di rumah dan pemulihan.
Beliau turut menegaskan bahawa warga emas yang memerlukan bantuan perlu terus diberi ruang untuk menyampaikan pandangan dan terlibat dalam keputusan berkaitan penjagaan diri mereka mengikut kemampuan masing-masing.
“Kita perlu menghormati pilihan dan maruah setiap warga emas. Keperluan mendapatkan bantuan tidak bermakna hak mereka untuk menyuarakan pandangan tentang penjagaan diri sendiri harus diketepikan,” katanya.
Beliau berharap pendekatan penjagaan yang mengambil kira keperluan individu dapat terus diperkukuh bagi memastikan warga emas menerima perkhidmatan yang sewajarnya.






























