TUARAN: Tuaran Youth Town Club (TYTC) di bawah pimpinan Datuk Mohammad Ghazali Hajiji mencatat kejayaan menerusi penganjuran Karnival Tamu Belia Tuaran 3.0 yang dianggarkan menarik hampir 50,000 pengunjung serta merekodkan nilai jualan dan transaksi menghampiri RM1.5 juta.
Berlangsung selama lima hari dari 28 Oktober hingga 1 November 2026 di Padang Istiadat Pekan Tuaran, karnival itu menghimpunkan kegiatan keusahawanan, kesukanan, kesenian, teknologi dan kemasyarakatan, dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran serta pelbagai agensi kerajaan.
Ghazali yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, menerajui penganjuran tersebut selaku Pengerusi TYTC merangkap Pengerusi Penganjur Karnival Tamu Belia Tuaran 2026.
Bersama jawatankuasa induk, urus setia dan pasukan pelaksana, beliau menggerakkan penganjuran yang membuka ruang kepada anak muda mengetengahkan bakat, mengembangkan perniagaan serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan masyarakat dan agensi kerajaan.
Berdasarkan rumusan pihak penganjur, anggaran kehadiran hampir 50,000 pengunjung itu melebihi tiga kali ganda sasaran awal seramai 15,000 orang. Nilai jualan dan transaksi usahawan, peniaga serta vendor pula dianggarkan menghampiri RM1.5 juta, mengatasi sasaran asal RM700,000.
Pencapaian itu memperlihatkan sumbangan karnival dalam merancakkan perniagaan setempat, di samping memperluas peluang kepada usahawan memperkenalkan produk dan mendapatkan pelanggan baharu.
Antara pengisian yang memeriahkan karnival ialah Rhythm of Tuaran, Sportink Runfest 2026, pertandingan sukan tradisional, e-sukan, RoboMania, persembahan artis serta pameran agensi. Tarikan lain termasuk Borneo Skuter Day, autoshow, pertandingan mewarna, car boot sale dan gerai jualan usahawan.
Kemeriahan turut diserikan dengan tawaran sembilan buah motosikal sebagai hadiah utama menerusi cabutan tiket bertuah sepanjang karnival berlangsung, sekali gus menambah keterujaan pengunjung.
Sportink Runfest 2026 turut menghimpunkan peserta dalam suasana penuh semangat kesukanan. Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jetama Sdn Bhd merangkap ADUN Dilantik Datuk Abdul Kassim Haji Razali. Sambutan ulang tahun ke-10 Popoutink dan Sportink turut menyerikan penganjuran kali ini.
Selain menyediakan peluang perniagaan dan hiburan seisi keluarga, karnival berkenaan turut membawa manfaat kepada pengguna menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Program kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu menawarkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, sekali gus membantu pengunjung mendapatkan keperluan pada harga berpatutan.
Karnival tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor pada 29 Oktober.
Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan belia sebagai penggerak ekonomi dan agen perubahan, selain menyifatkan karnival itu sebagai ruang untuk anak muda berkongsi idea, mengetengahkan bakat, mengembangkan perniagaan serta membina kerjasama.
Kejayaan penganjuran ini mengukuhkan peranan TYTC pimpinan Ghazali dalam menghubungkan pembangunan belia dengan peluang ekonomi dan keperluan komuniti Tuaran.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan, rakan strategik, penaja, usahawan, peniaga, peserta, pengunjung serta seluruh jawatankuasa dan petugas atas kerjasama sepanjang lima hari karnival berlangsung.






























