Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR (Bernama): Kerajaan tidak akan berkompromi atau mengamalkan sikap dwistandard terhadap mana-mana pegawai penguat kuasa yang didapati melanggar undang-undang, meskipun individu terbabit memiliki rekod prestasi cemerlang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan contoh peristiwa pada 1998 apabila bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor tetap dihukum penjara susulan insiden memukul tahanan.
“Kita kena ingat, betapa baik pun mana-mana pegawai, dia mesti ikut peraturan. Kalau ada dakwaan-dakwaan atau tuduhan seseorang itu didera, dia (perlu) mengikut proses.
“(Ahli Parlimen) Arau tahu, (pada tahun) 1998 Ketua Polis Negara dipenjara kerana memukul seseorang. Apakah dia tidak ada jasa? Dia ada jasa. Jadi kita ada dua perkara, iaitu kerja mesti profesional, tapi kalau ada tindakan yang melanggar undang-undang, itu kena ikut proses,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Shahidan membangkitkan rasional pertukaran Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedangkan beliau menunjukkan prestasi cemerlang, selain mempersoalkan tindakan mengambil kira laporan polis berbanding laporan dalaman agensi berkenaan susulan penularan satu klip video keselamatan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata pelantikan Mohd Shuhaily sebelum ini dibuat berasaskan penilaian terhadap prestasi serta keupayaan beliau.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sekiranya timbul laporan atau dakwaan salah laku, siasatan terperinci wajar dijalankan mengikut lunas undang-undang tanpa sebarang campur tangan politik.
Anwar berkata sebarang keputusan untuk mendakwa tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC) berdasarkan hasil siasatan pihak polis.
“Kalau tanya saya dari segi peribadi, memang ada simpati. Tetapi kalau ada dakwaan, sama ada daripada orang ramai atau polis, itu soal siasatan. Janganlah minta saya atau Menteri Dalam Negeri campur (tangan).
“Apabila seseorang penjawat awam didakwa, (lazimnya) dia akan dipindahkan atau dilepaskan daripada jawatan mengikut prosedur. Janganlah kita anggap ini sebagai satu isu kontroversi atau (bermotifkan) politik, tidak ada,” katanya.
Pada 29 Okt lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily, yang sebelum ini berada dalam kontrak peminjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS, kepada perkhidmatan PDRM.
Terdahulu pada 21 Okt, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua anggota Cawangan Khas PDRM di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept lepas. — BERNAMA






























