KUALA LUMPUR (Bernama): Kerajaan tidak menolak kemungkinan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan “mafia korporat” di negara ini, sekiranya terdapat asas dan keperluan jelas untuk siasatan lebih menyeluruh.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis di portal Parlimen memaklumkan cadangan penubuhan RCI itu perlu dinilai berdasarkan kemunasabahan untuk melanjutkan siasatan termasuk mengenal pasti skop yang benar-benar perlu diteliti.
“Kerajaan tidak menolak keperluan tersebut sekiranya terdapat asas dan keperluan yang jelas untuk suatu siasatan yang lebih menyeluruh, serta butiran fakta yang kukuh telah dikenal pasti.
“Kerajaan akan terus memastikan bahawa sebarang dakwaan yang mempunyai asas diteliti secara telus dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan undang-undang, tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mana-mana pihak,” menurut KDN.
Kementerian itu menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu perkembangan siasatan mengenai mafia korporat dan sama ada mereka yang dikatakan dalang utama isu itu akan dihadapkan ke mahkamah.
Khoo juga ingin tahu sama ada kerajaan bersedia menubuhkan sebuah RCI untuk menangani isu tersebut.
KDN memaklumkan setakat 25 Sept lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil 70 individu untuk dirakam keterangan serta membekukan dan menyita aset melibatkan lapan bidang hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham berjumlah RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.62 juta.
“PDRM melalui Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menjalankan Op Viking susulan maklumat dan risikan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.
“Satu kertas siasatan telah dibuka pada 14 Okt 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (AMLATFPUAA 2001),” menurut kementerian itu. — BERNAMA






























