Dr Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Sebanyak RM11.792 bilion telah dibelanjakan bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 setakat 30 September 2026, bersamaan 47.37 peratus daripada kos keseluruhan RM24.859 bilion.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata projek sepanjang 706 kilometer itu melibatkan 35 pakej kerja yang dimulakan secara berperingkat.
Beliau berkata jumlah perbelanjaan itu merangkumi bayaran kepada kontraktor dan perunding, pampasan tanah serta pengalihan utiliti, termasuk bayaran kepada rakan pelaksana projek (PDP) sepanjang tempoh pelaksanaannya sebelum perjanjian ditamatkan.
“Kerajaan mengakui kelewatan yang berlaku dan memberi tumpuan kepada penyelesaian di tapak serta penambahbaikan pengurusan projek,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Joachim berkata pelaksanaan projek bermula menggunakan model Project Delivery Partner (PDP), dengan tiga pakej dimulakan pada 2016, empat pada 2017 dan lima pada 2018.
Selepas model PDP ditamatkan pada September 2019, projek beralih kepada kaedah konvensional, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dilantik sebagai Pegawai Penguasa.
Daripada 12 pakej asal, 11 dilaksanakan pada 2019 dengan melantik semula kontraktor asal, manakala satu pakej yang ditamatkan ketika pelaksanaan PDP ditender semula dan surat setuju terima dikeluarkan pada 2021, bersama tiga pakej baharu.
Kesemua 15 pakej itu dikenal pasti sebagai Fasa 1A, manakala Fasa 1B melibatkan 19 pakej kerja yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Beliau berkata sebanyak 17 pakej Fasa 1B memulakan kerja fizikal pada 2024, sementara WP09 dan satu pakej Fasa 1B bermula pada 2025. Pakej terakhir Fasa 1B, iaitu WP35, hanya memulakan kerja pada Januari 2026.
Setakat ini, empat daripada 15 pakej Fasa 1A telah siap sepenuhnya, iaitu WP27 Kampung Lot M-Sandakan Mile 32 pada 2023, WP05 Papar-Donggongon dan WP21 Lahad Datu Bypass pada 2024, serta WP15 Tawau-Semporna pada 2025.
Bagaimanapun, kemajuan fizikal sebenar Fasa 1A masih ketinggalan berbanding jadual, masing-masing pada 89.54 peratus dan 96.23 peratus.
Sebaliknya, WP09 mencatatkan kemajuan fizikal sebenar 40.83 peratus, mengatasi kemajuan dijadualkan sebanyak 38.87 peratus.
Fasa 1B turut merekodkan kemajuan fizikal sebenar 25.55 peratus, sedikit mendahului jadual pada 24.77 peratus.
Mengulas laporan audit yang menyatakan kadar penyiapan projek sebanyak 11.4 peratus, Dr Joachim menjelaskan angka itu berdasarkan empat pakej yang siap sepenuhnya berbanding keseluruhan 35 pakej kerja.
Menurutnya, angka berkenaan tidak menggambarkan kemajuan fizikal sebenar di tapak kerana tidak mengambil kira kerja yang telah dilaksanakan bagi pakej lain yang masih dalam pembinaan.
“Angka 11.4 peratus merujuk kepada kadar penyiapan bilangan pakej kerja bagi keseluruhan Fasa 1, manakala 89.54 peratus mencerminkan kemajuan pelaksanaan fizikal sebenar bagi Fasa 1A,” katanya.
Beliau berkata antara cabaran utama yang menjejaskan pelaksanaan projek ialah peralihan model pengurusan, gangguan tenaga kerja dan rantaian bekalan bahan binaan ketika pandemik COVID-19, isu pengambilan tanah serta pengalihan utiliti.
Kerja pelebaran jalan sedia ada juga berdepan kekangan kerana perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan kelancaran trafik.
Bagaimanapun, penyediaan tapak bebas halangan bagi Fasa 1A mencapai 99.85 peratus setakat 25 September 2026.
Dr Joachim berkata usaha menyelesaikan baki isu tapak, memantau prestasi kontraktor dan melaksanakan pelan pemulihan kerja terus dipergiatkan bagi meningkatkan kemajuan serta mempercepatkan penyiapan baki pakej.
Beliau berkata Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) serta JKR Sabah menerima teguran audit sebagai asas untuk memperkukuh tadbir urus, pengurusan kontrak dan pemantauan projek.
“Kami mengambil maklum hasrat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memulakan siasatan terhadap Projek Pan Borneo Sabah Fasa 1 dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Dr Joachim turut menjelaskan bahawa projek berkenaan ialah projek jalan Persekutuan yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia sebagai pemilik projek dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana.
Urusan peruntukan dan perolehan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Persekutuan, manakala Kerajaan Negeri menyelaras urusan tanah dan utiliti bersama agensi berkaitan.
































