Hajiji menandatangani plak bagi memperingati majlis pecah tanah projek IPD Nabawan.
NABAWAN: Pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nabawan dan perumahan polis merupakan pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh keupayaan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya di daerah Nabawan dan kawasan sekitarnya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata projek yang mempunyai siling peruntukan RM150 juta itu dijangka bermula pada Januari 2027.
“Saya mahu projek ini dilaksanakan dengan tahap integriti tertinggi, mematuhi spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan, selain memastikan manfaat maksimum kepada rakyat dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita bukan sekadar mahu melihat projek ini siap, tetapi juga memastikan kemudahan yang disediakan memberikan manfaat jangka panjang,” katanya pada majlis pecah tanah projek IPD Nabawan dan perumahan polis di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan; Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Haji Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman; dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Hajiji berkata pembinaan IPD Nabawan amat penting memandangkan kedudukan strategik daerah itu yang bersempadan dengan Indonesia, sekali gus memerlukan keupayaan keselamatan lebih kukuh bagi menangani jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram.
Beliau berkata ancaman berkenaan memerlukan langkah penguatkuasaan bersepadu, berkesan dan berterusan, termasuk memperkukuh keupayaan PDRM dari segi anggota, infrastruktur, kemudahan operasi dan sistem pentadbiran.
Katanya, Balai Polis Nabawan yang ditubuhkan pada 1976 ketika ini berada di bawah pentadbiran IPD Keningau, walaupun Nabawan meliputi kawasan pentadbiran kira-kira 6,089 kilometer persegi.
“Memandangkan keluasan daerah ini, terdapat keperluan jelas untuk mewujudkan sistem kepolisan yang lebih tersusun dan memenuhi keperluan keselamatan semasa.
“Pembangunan IPD Nabawan merupakan langkah penting ke arah memperkukuh kehadiran polis dan keupayaan kepolisan di kawasan ini,” katanya.
Hajiji berkata projek itu turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan terhadap kebajikan, keselesaan dan keselamatan anggota barisan hadapan.
“Menyediakan infrastruktur yang kondusif dan dilengkapi kemudahan teknologi terkini bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya keperluan kritikal, khususnya di kawasan sempadan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan merupakan tunjang utama pembangunan negeri kerana pertumbuhan ekonomi yang mampan tidak dapat dicapai tanpa persekitaran yang aman, stabil dan selamat.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh infrastruktur keselamatan di seluruh Sabah, termasuk memastikan penduduk di kawasan pedalaman seperti Nabawan mendapat akses kepada perkhidmatan keselamatan yang lebih baik.
Katanya, pembangunan IPD berkenaan mempunyai kepentingan strategik kerana bukan sahaja memenuhi keperluan operasi PDRM, malah meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan dalam komuniti masing-masing.
“Kita mahu rakyat Nabawan berasa yakin bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.
“Pada masa sama, kebajikan anggota PDRM juga mesti kekal sebagai keutamaan. Mereka berada di barisan hadapan dalam mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam.
“Oleh itu, penyediaan kemudahan tempat kerja dan perumahan yang sempurna amat penting bagi menyokong kebajikan mereka serta memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dengan berkesan,” katanya.


































