KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah akan membangkitkan keperluan menyediakan depot kontena dan kawasan menunggu kenderaan perdagangan yang bersesuaian bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di sekitar Pelabuhan Sepanggar.
Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata cadangan itu susulan tinjauan ke lokasi kemalangan berhampiran pelabuhan berkenaan pada 19 Oktober, yang mengorbankan dua nyawa sehari sebelumnya.
Kemalangan pada 18 Oktober itu berlaku apabila sebuah treler yang membawa muatan kontena terbalik ketika proses pemindahan kontena ke atas sebuah semi-treler, lalu menghempap Toyota Avanza yang dinaiki mangsa bersama anaknya.
Beliau berkata hasil pemerhatian mendapati kawasan jalan raya berkenaan tidak sesuai dijadikan tempat pemunggahan atau pemindahan kontena kerana keadaan jalan yang sempit.
Aktiviti berkenaan sepatutnya dilakukan di dalam kawasan pelabuhan atau depot kontena yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, terdapat pengusaha yang meletakkan kontena di bahu jalan, termasuk di atas longkang, sekali gus mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan menyebabkan kerosakan infrastruktur jalan.
Dalam operasi khas yang dijalankan pada 19 Oktober, JPJ Sabah mengambil tindakan terhadap 65 kenderaan dan mengeluarkan 109 notis atas pelbagai kesalahan.
Kesalahan tertinggi membabitkan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memberhentikan atau membenarkan kenderaan berhenti di jalan dalam keadaan yang boleh membahayakan, menghalang atau menyusahkan pengguna jalan raya lain.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau dipenjarakan antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Statistik penguatkuasaan JPJ Sabah di sekitar Jalan Sepanggar turut menunjukkan peningkatan jumlah notis daripada 397 pada 2025 kepada 486 setakat 2026.
Tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPJ Sabah menangani kesalahan parkir dan pemberhentian kenderaan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kelancaran lalu lintas.
JPJ Sabah juga akan mencadangkan kepada pihak berwajib supaya mempertimbangkan pemasangan bonggol jalan, pembaikan jalan, penambahbaikan pencahayaan dan pelebaran bahu jalan di sepanjang laluan ke Pelabuhan Sepanggar.
Langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya pada waktu malam.
Mohd Harris turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap tragedi itu menjadi peringatan kepada semua pihak supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.


































