Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memanggil Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memberikan penjelasan berhubung keputusan menamatkan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah pada 2019.
Pengerusi G57 Datuk Zulkarnain Mahdar berkata alasan yang diberikan bagi menamatkan model berkenaan perlu diperjelaskan, terutama dari segi kesannya terhadap kesinambungan pelaksanaan, pembiayaan dan jadual pembinaan projek.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti perkara itu mengikut bidang kuasanya dan mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan sekiranya terdapat asas untuk siasatan.
“Shafie perlu menjelaskan mengapa perubahan tersebut disokong, apakah penilaian risiko yang dibuat ketika itu serta langkah yang dirancang bagi memastikan jadual pembinaan dan pembiayaan projek tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Zulkarnain berkata penelitian terhadap kelewatan projek itu perlu mengambil kira keputusan penamatan model PDP ketika Shafie menerajui kerajaan negeri Sabah, termasuk peralihan kepada kaedah konvensional dan kemungkinan kesannya terhadap proses perolehan serta kebergantungan kepada peruntukan pembangunan tahunan Persekutuan.
Mengulas laporan PAC mengenai status Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, beliau berkata angka 11.4 peratus tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kemajuan fizikal keseluruhan projek tanpa mengambil kira perbezaan antara pakej kerja yang telah disiapkan dan diserah milik dengan pakej yang masih dalam pembinaan.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang dirujuk G57, angka itu merujuk kepada empat daripada 35 pakej kerja yang telah disiapkan sepenuhnya dan diserah milik kepada kerajaan setakat Mac 2026.
“G57 menolak naratif yang menggambarkan RM10.547 bilion telah dihabiskan untuk menyiapkan hanya 11.4 peratus jalan. Tafsiran sedemikian mengelirukan sekiranya tidak dibezakan antara jumlah pakej kerja yang telah disiapkan dan diserah milik dengan kemajuan fizikal keseluruhan projek,” katanya.
Beliau berkata perbelanjaan RM10.547 bilion, bersamaan 94.6 peratus daripada peruntukan RM11.153 bilion yang disalurkan, perlu diperincikan mengikut penggunaan sebenar, termasuk bayaran tuntutan kemajuan kontraktor, pampasan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.
Katanya, baki 31 pakej kerja bernilai RM16.32 bilion yang masih dalam pelaksanaan juga perlu diambil kira dalam menilai kemajuan dan kos projek.
Zulkarnain berkata kos keseluruhan projek dilaporkan meningkat daripada RM12.86 bilion kepada sekitar RM24.89 bilion, justeru asas perbandingan angka itu perlu dijelaskan, termasuk perubahan skop, kos pengambilan tanah, pengalihan utiliti, kenaikan harga bahan binaan dan kesan kelewatan pelaksanaan.
Beliau turut mempersoalkan sebarang alasan yang menjadikan hubungan politik individu dalam syarikat PDP sebagai asas utama penamatan model itu, sambil menegaskan penilaian sepatutnya berdasarkan prestasi, pematuhan kontrak, kelayakan teknikal dan kepentingan rakyat.
“Keputusan yang memberi kesan besar terhadap projek infrastruktur negara mesti disokong oleh alasan teknikal, kewangan dan pentadbiran yang jelas. Rakyat berhak mengetahui mengapa sasaran asal penyiapan pada 2021 tidak dapat dicapai serta bagaimana keputusan pada setiap peringkat pentadbiran mempengaruhi jadual projek,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendesak ahli PAC turun ke lapangan untuk meninjau jajaran yang sedang dibina, mendapatkan penjelasan kontraktor dan mendengar pengalaman pengguna jalan raya bagi melengkapkan penelitian dokumen dengan keadaan sebenar di Sabah.
G57 turut menyokong pengukuhan peranan dan autonomi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam pelaksanaan projek, dengan bidang kuasa yang jelas serta mekanisme pemantauan dan pertanggungjawaban yang berkesan.
Zulkarnain berkata perbahasan mengenai Pan Borneo perlu mengambil kira keseluruhan kronologi projek dan tanggungjawab semua pihak yang terlibat, bukannya meletakkan keseluruhan kesalahan kepada kerajaan semasa tanpa meneliti keputusan pentadbiran terdahulu.
Beliau berkata rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan telus mengenai penggunaan dana, punca kelewatan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap keputusan penting sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.


































