KOTA KINABALU: Sebanyak lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 177 kilometer dicadang dibuka kepada pengguna secara berperingkat sebelum akhir tahun ini bagi mempercepat manfaat projek kepada rakyat sementara kerja di bahagian lain diteruskan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dr Joachim Gunsalam berkata langkah itu dilaksanakan seiring tindakan susulan bagi menangani penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 Siri 2 yang dibentangkan pada 5 Oktober lalu.
“Kerajaan Negeri menerima teguran audit dengan terbuka. Fokus kami sekarang ialah penyelesaian supaya rakyat dapat menggunakan jalan yang lebih baik secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Joachim Gunsalam
Beliau berkata, enam pakej sepanjang 135.8 kilometer telah menerima Sijil Pendudukan Separa (Certificate of Partial Occupation), yang membolehkan seksyen siap dibuka kepada orang awam sementara kerja di bahagian lain diteruskan.
Pakej berkenaan meliputi laluan Sindumin ke Beaufort dan Bongawan, serta Putatan ke Tebobon dan Moynod ke Sapi Nangoh.
Sehingga 25 September lalu, empat pakej sepanjang 41.5 kilometer telah siap sepenuhnya, iaitu WP05 Papar ke Donggongon, WP15 Tawau ke Semporna, WP21 Lahad Datu Bypass dan WP27 Kampung Lot M ke Sandakan Mile 32.
Sebanyak lapan lagi pakej sepanjang 161.8 kilometer disasarkan menerima Sijil Siap Praktikal (Certificate of Practical Completion) pada 2027, yang mengesahkan keseluruhan kerja pembinaan telah disiapkan.
Menjelaskan angka kemajuan 11.4 peratus yang disebut dalam laporan audit itu, Dr Joachim berkata, ia merujuk kepada empat daripada 35 pakej yang telah diserahkan sepenuhnya setakat 31 Mac 2026.
Beliau menjelaskan 35 pakej berkenaan dilaksanakan secara berperingkat menerusi kaedah pelaksanaan berbeza. Daripada 12 pakej awal, tiga dimulakan pada 2016, empat pada 2017 dan lima pada 2018 menggunakan model Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner atau PDP).
Selepas model PDP ditamatkan pada penghujung 2019, sebanyak 11 pakej ditawarkan semula kepada kontraktor yang sama, satu pakej ditender semula dan tiga pakej baharu ditender, menjadikan keseluruhan 15 pakej bagi Fasa 1A.
Fasa 1B merangkumi 17 pakej yang mula dilaksanakan pada 2024, manakala WP09 dimulakan pada 2025 dan satu lagi pakej Fasa 1B pada 2026.
Beliau berkata kelewatan memulakan Fasa 1B dan WP09 berpunca daripada kelulusan penuh peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang hanya diperoleh pada 2023.
Sehingga 25 September lalu, kemajuan fizikal mencatat 89.54 peratus bagi Fasa 1A, 38.87 peratus bagi WP09 dan 24.76 peratus bagi Fasa 1B yang mula dibina pada 2024.
Status tapak bebas halangan juga meningkat dengan ketara, masing-masing kepada 99.79 peratus bagi Fasa 1A, 96.8 peratus bagi WP09 dan 79.43 peratus bagi Fasa 1B.
Dr Joachim berkata pengambilan tanah dan penyelarasan utiliti merupakan antara tanggungjawab utama Kerajaan Negeri dalam projek berkenaan, yang merupakan projek jalan Persekutuan dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
Keputusan berkaitan peruntukan dan pelantikan kontraktor dibuat oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bertindak sebagai agensi pelaksana di tapak.
“Kejayaan projek ini bergantung pada kerjasama kedua-dua kerajaan. Hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan kini berada pada tahap terbaik dan kami bergerak seiring untuk menyelesaikan setiap halangan,” katanya.

Mengenai punca kelewatan, Dr Joachim berkata projek yang dimeterai pada 2016 itu melalui perubahan model pelaksanaan daripada PDP kepada kaedah konvensional yang berkuat kuasa pada 22 September 2019.
Peralihan itu memerlukan proses perolehan dan kontrak baharu, dengan pelantikan 15 kontraktor bagi Fasa 1A hanya selesai pada 2021.
Pandemik COVID-19 turut menjejaskan tenaga kerja dan bekalan bahan binaan. Selain itu, lebih 70 peratus projek melibatkan pelebaran jalan sedia ada daripada dua kepada empat lorong yang perlu dilaksanakan ketika trafik masih bergerak.
Bagi menangani penemuan audit, Kerajaan Negeri bersama KKR melaksanakan beberapa langkah. Jawatankuasa Pemandu Pan Borneo Sabah yang ditubuhkan pada November 2024 mengadakan lawatan turun padang secara berkala.
Jawatankuasa itu juga dicadang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha KKR dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mempercepat penyelarasan antara agensi.
Pelan pemulihan turut dikenakan terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi ditetapkan. Kontraktor baharu bagi WP35 Kampung Nabutan ke Ranau dilantik pada 13 Januari 2026.
Sementara itu, kemajuan WP11 Rampayan Laut ke Sarang meningkat daripada 61.76 peratus pada Jun kepada 74.18 peratus pada September selepas pelan pemulihan dilaksanakan.
Mengenai penemuan audit berhubung arahan perubahan kerja bernilai RM513.99 juta yang melebihi had kuasa kelulusan, Dr Joachim berkata, Kerajaan Negeri akur dengan teguran itu dan menyokong mekanisme kelulusan yang lebih jelas serta pantas untuk dimasukkan dalam kontrak bersama KKR dan Kementerian Kewangan tanpa menjejaskan tadbir urus.
Pegawai JKR Sabah juga menjalani latihan pengurusan kontrak bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan CREATE JKR, yang merangkumi penyediaan Senarai Kuantiti (Bill of Quantities), anggaran kos dan dokumen kontrak.
Bagi tempoh seterusnya, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada penyelarasan awal dengan pejabat tanah dan syarikat utiliti sebelum kerja pembinaan bermula, selain mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal mencapai sasaran prestasi.
Keselamatan pengguna di zon pembinaan serta penyampaian maklumat kemajuan projek secara telus kepada rakyat turut diberi keutamaan.
Dr Joachim berkata pakej Fasa 1B akan disiapkan secara berperingkat mengikut tarikh kontrak sehingga 2030, dengan kemajuannya dipantau secara rapi.
Beliau turut mengalu-alukan peruntukan RM1.38 bilion untuk Lebuhraya Pan Borneo dalam Belanjawan 2027, yang menurutnya akan memastikan kesinambungan kerja di tapak.
“Rakyat menilai kita melalui jalan yang mereka lalui setiap hari. Setiap seksyen yang dibuka adalah bukti kemajuan dan kami akan terus bekerja sehingga Lebuhraya Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya,” katanya.


































