Hajiji bergambar secara wefie bersama para Felo SMJ 5.0.
KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar inisiatif pembangunan belia, malah menjadi medan latihan bagi kepimpinan masa depan Sabah dengan membentuk generasi yang berkeupayaan memimpin, memacu ekonomi dan menentukan hala tuju negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pemilihan sebagai Felo SMJ bukan sekadar menyertai sesebuah program, sebaliknya mencerminkan kepercayaan, tanggungjawab dan pelaburan yang diberikan kepada mereka untuk masa depan Sabah.
Beliau berkata, para peserta dipilih kerana Kerajaan Negeri melihat potensi dan bakat mereka untuk berada di barisan hadapan dalam membuat keputusan, menerajui organisasi, memacu ekonomi dan membentuk hala tuju negeri.
“Saya mahu para Felo SMJ melihat ini bukan sekadar peluang untuk menimba pengalaman, tetapi sebagai satu tanggungjawab untuk mempersiapkan diri menjadi sebahagian daripada generasi yang akan membawa Sabah ke hadapan,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 5.0 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Hajiji berkata, menerusi Felo SMJ 5.0, beliau mahu program itu terus berkembang bukan sahaja dari segi penyertaan atau aktiviti, tetapi lebih penting dari segi impaknya terhadap masa depan golongan belia Sabah.
“Kita mahu mereka yang menyertai program ini tampil dengan kematangan yang lebih tinggi, keyakinan yang lebih kukuh, jaringan yang lebih luas serta keupayaan sebenar untuk menyumbang kepada negeri,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terus menyokong Program Felo SMJ dengan membuka ruang kepada anak-anak muda Sabah dan mendedahkan mereka kepada dunia sebenar pengurusan, pentadbiran serta sektor korporat.
Bagi Felo SMJ 5.0, Hajiji berkata pembangunan modal insan Sabah mesti menjadi sebahagian daripada komitmen teras GLC di negeri ini dan bukan sekadar dilihat sebagai satu program atau inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
“Membangunkan bakat Sabah mesti menjadi sebahagian daripada agenda kita dalam membangunkan negeri. Sabah mempunyai ramai anak muda yang bijak, kreatif, berani dan bercita-cita tinggi, namun sebahagian daripada mereka mungkin hanya memerlukan peluang atau mentor untuk membantu mereka merealisasikan potensi.
“Kita tidak mahu membangunkan bakat hanya untuk melihat mereka terpaksa berhijrah kerana tidak mendapat peluang untuk cemerlang di negeri sendiri. Kita mahu rakyat Sabah mempunyai pilihan untuk membina masa depan mereka di sini,” katanya.
Beliau berkata, di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), Sabah memerlukan modal insan yang berdaya saing untuk memacu transformasi negeri ke arah ekonomi masa depan yang mampan dan berteknologi tinggi.
Katanya, ciri-ciri yang diperlukan termasuk tenaga kerja berkemahiran yang mampu memenuhi keperluan industri moden, celik teknologi dan digital, mempunyai integriti yang kukuh serta kreatif.
“Sebab itu, bagi saya, Program Felo SMJ bukan sekadar program pembangunan belia. Ia adalah medan latihan bagi kepimpinan masa depan Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri bukan sahaja mahu melahirkan pemimpin yang cemerlang dalam pengetahuan dan kemahiran, tetapi lebih penting pemimpin yang berorientasikan rakyat, mampu memahami denyut nadi masyarakat, membawa suara rakyat ke meja pembentukan dasar serta meletakkan kecintaan terhadap negeri melebihi kepentingan diri.
Beliau menggesa peserta Felo SMJ 5.0 menggunakan peluang berkenaan sebagai platform pembangunan kepimpinan dengan memupuk disiplin, empati, visi dan keberanian, selain menjadikan integriti sebagai nilai teras peribadi.
































