KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas Mitsubishi Triton dipandunya terbabas sendiri sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Chan Furniture, di sini, sekitar 12.30 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu bersendirian dari arah Tebobon menuju ke pusat bandaraya Kota Kinabalu.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan oleh pihak Bomba Likas.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 1.31 pagi oleh pegawai perubatan,” katanya.
Shahrudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Brymenedren Godon di talian 010-7768802, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrudin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.


































