AMSTERDAM (Bernama-dpa): Polis Belanda pada Selasa memaklumkan seorang lelaki berusia 24 tahun dari Amsterdam ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kumpulan penggodam antarabangsa ShinyHunters, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kumpulan itu disyaki melancarkan serangan siber besar-besaran terhadap syarikat telekomunikasi Belanda, Odido, selain menyasarkan sejumlah syarikat di peringkat antarabangsa.
ShinyHunters turut mendakwa berjaya menceroboh pelayan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan mencuri maklumat sensitif membabitkan semua kakitangan agensi itu.
Menurut polis, lelaki berkenaan yang ditahan pada 15 Sept turut disyaki mengarahkan dua pembunuhan di luar negara.
Bagaimanapun, dakwaan berkaitan pembunuhan itu tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan penggodam berkenaan.
Pengarah FBI Kash Patel merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Belanda atas penahanan itu.
“Terima kasih kepada rakan kami Polis Kebangsaan Belanda atas kerjasama berterusan dalam kes ini, serta rakan industri yang berkongsi maklumat dengan kami,” tulis Patel di platform media sosial X pada Selasa.
FBI berkata ShinyHunters telah menggodam lebih 140 organisasi sejak tahun lepas dan memeras ugut kira-kira €62 juta (US$70.1 juta) dalam bentuk bayaran tebusan.
Siasatan masih diteruskan dan polis tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan dibuat. — BERNAMA-dpa






























