Gambar hiasan
TENOM (Bernama): Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), meluluskan peruntukan RM3.9 juta bagi pelaksanaan 14 projek tambahan Jalan Ladang Pekebun Kecil di Tenom, Kemabong dan Keningau.
Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata projek berkenaan penting dalam menangani masalah perhubungan yang dihadapi pekebun kecil di kawasan pedalaman, terutama bagi membawa keluar hasil pertanian.
Beliau berkata kemudahan jalan yang lebih baik juga dapat menyokong kegiatan ekonomi pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit, getah dan pertanian, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Kemudahan ini amat penting terutama bagi sektor perladangan dan komoditi di kawasan pedalaman, kerana ramai pekebun kecil mengusahakan tanaman sawit, getah dan pertanian.
“Selama ini, mereka berdepan masalah perhubungan dan dengan adanya bantuan daripada kementerian, ia akan memudahkan pekebun kecil membawa keluar hasil mereka, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Warga Kampung Kemabong Lama di sini hari ini.
Noraini berkata kementeriannya turut meluluskan RM300,000 bagi melebarkan jalan konkrit, yang menghubungkan Kampung Kemabong Lama dengan Kampung Kemabong Baru bagi memudahkan pergerakan penduduk dan pengangkutan hasil kebun.
Selain pembangunan infrastruktur, KPK bersama MPOB turut menyampaikan sumbangan RM7,300 kepada Sekolah Kebangsaan Kemabong bagi membangunkan Kelas Interaksi Digital Sekolah (KIDS), selain sumbangan pakaian sekolah kepada 50 murid yang memerlukan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin yang turut hadir pada program berkenaan menyambut baik kelulusan 14 projek itu, yang disifatkannya mampu memberi manfaat secara langsung kepada pekebun kecil, khususnya dalam memudahkan mereka membawa keluar hasil pertanian.
“Kelulusan ini sudah tentu memberi manfaat besar kepada pekebun kecil kerana kemudahan jalan ladang yang lebih baik akan memudahkan mereka keluar masuk ke kebun serta membawa hasil untuk dipasarkan.
“Saya percaya kemudahan ini bukan sahaja dapat melancarkan aktiviti pertanian, malah membantu mengurangkan kos dan masa membawa hasil, sekali gus memberi kesan positif kepada pendapatan pekebun kecil,” katanya. — BERNAMA






























