Julita (tengah), Dr. Ferro (tiga dari kiri) dan Dr. Leong (dua dari kiri) bersama para peserta dan penganjur Kempen Kesedaran Penyakit Vaskular.
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah digesa menjalani saringan awal bagi penyakit vaskular, khususnya mereka yang berisiko, kerana sesetengah penyakit berkenaan boleh berlaku tanpa disedari sebelum menjadi serius atau mengancam nyawa.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, pengesanan awal penting kerana penyakit vaskular tidak semestinya menunjukkan gejala yang jelas.
“Antara tanda amaran yang tidak boleh diabaikan termasuk sakit atau kekejangan pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit, bengkak serta luka yang lambat sembuh.
“Jangan menganggap tanda-tanda ini sebagai sesuatu yang normal hanya kerana faktor usia. Sekiranya terdapat perubahan yang luar biasa, dapatkan pemeriksaan perubatan lebih awal,” katanya ketika merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Vaskular di Hospital Queen Elizabeth II di sini, hari ini.
Julita berkata, antara keadaan yang diberi perhatian menerusi kempen tersebut ialah aneurisma aorta abdominal (AAA), yang berlaku apabila bahagian dinding aorta yang lemah, iaitu salur darah utama yang membawa darah dari jantung ke seluruh tubuh, menjadi membesar atau mengembung.
Beliau berkata, AAA boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang jelas, namun boleh mengancam nyawa sekiranya aneurisma tersebut pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman yang serius.
Kempen tersebut turut menyediakan aktiviti saringan bagi AAA dan penyakit arteri periferi (PAD), sebagai sebahagian usaha menggalakkan pengesanan awal.
Julita berkata, PAD berlaku apabila saluran darah yang membekalkan anggota badan, khususnya kaki, menjadi sempit atau tersumbat, dengan gejala termasuk sakit pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit serta luka yang lambat sembuh.
Beliau turut menggesa orang ramai mengurangkan risiko penyakit vaskular dengan berhenti merokok, mengawal tekanan darah, paras gula dalam darah dan tahap kolesterol, mengekalkan berat badan yang sihat, mengamalkan pemakanan seimbang serta kekal aktif secara fizikal.
“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Kenali tubuh anda, kenal pasti tanda-tanda amaran dan ambil tindakan lebih awal,” katanya.
Julita berkata, Kerajaan Sabah akan terus menyokong usaha menyediakan maklumat kesihatan yang tepat, saringan yang bersesuaian serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Turut hadir Pengarah HQE II, Dr. Ferro Firdaus Ibrahim dan Pakar Perunding Bedah Vaskular dan Endovaskular, Datuk Dr. Benjamin Leong Dak Keung.
































