KOTA TINGGI (Bernama): Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai sebelum mengamuk dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun dengan bersenjatakan parang.
“Polis menerima laporan kira-kira 9.30 pagi berhubung kejadian suspek mengamuk dan mengejar lelaki terbabit.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan, namun suspek akhirnya berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata pembantu pegawai perubatan mengesahkan kematian kanak-kanak itu dan mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dijangka dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang esok untuk bedah siasat.
Beliau berkata suspek dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental manakala kejadian berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — BERNAMA
































