SINGAPURA (Bernama): Singapura akan mengenakan denda maksimum S$500 (S$1=RM3.20) terhadap penumpang yang melakukan perbuatan mengganggu atau tidak sopan di dalam bas awam, termasuk di hab pertukaran dan terminal bas, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Menurut LTA, kesalahan itu termasuk mengganggu atau menimbulkan rasa tidak selesa kepada penumpang lain dengan meletakkan kaki di atas tempat duduk, memainkan audio dengan kuat, membuang sampah serta makan atau minum di dalam bas.
LTA memaklumkan kesalahan berkenaan diperuntukkan di bawah Peraturan Industri Perkhidmatan Bas (Kawalan Tingkah Laku dan Aktiviti – Bas Awam) 2026 dan Peraturan Industri Perkhidmatan Bas (Kawalan Tingkah Laku dan Aktiviti – Hab Pertukaran Bas) 2026 yang baharu.
“Kesalahan lebih serius seperti menghalang atau membahayakan penumpang lain di hab pertukaran atau terminal bas, serta mengotorkan mana-mana bahagian bas awam, hab pertukaran atau terminal boleh dikenakan denda maksimum S$5,000.
“Hukuman ini diselaraskan dengan penalti di bawah Peraturan Sistem Transit Pantas sedia ada,” menurut LTA dalam kenyataan pada Isnin.
LTA berkata di bawah peraturan baharu itu, kakitangan pengendali bas awam yang diberi kuasa seperti pemeriksa tiket dan kakitangan hab pertukaran bas boleh mengeluarkan notis rasmi kepada individu yang disyaki melakukan kesalahan.
Bagaimanapun, pemandu bas tidak diberi kuasa mengeluarkan notis berkenaan bagi memastikan tugas utama mereka mengendalikan bas dengan selamat tidak terjejas.
Mereka boleh menasihati penumpang supaya menghentikan perbuatan yang mengganggu, mengarahkan penumpang yang enggan mematuhi arahan supaya turun dari bas serta mendapatkan bantuan Pusat Kawalan Operasi Bas atau polis bagi kes serius.
“Walaupun peraturan baharu ini diperkenalkan, LTA dan pengendali bas awam akan terus menggunakan budi bicara dan berlaku adil dalam menangani penumpang yang tidak bertimbang rasa, khususnya kes melibatkan individu dengan keadaan kesihatan fizikal atau mental.
“LTA juga akan terus bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam dan pihak berkepentingan bagi menggalakkan sikap bertimbang rasa, di samping mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap perbuatan yang mengganggu bagi memastikan pengalaman perjalanan lebih baik untuk semua,” menurut kenyataan itu. — BERNAMA
































