Suasana ketika program berlangsung.
KOTA KINABALU: Program Borak dan Busking anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah menghiburkan para pengunjung yang datang ke Pantai Tanjung Aru sambil menikmati keindahan matahari terbenam.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, pemilihan Pantai Tanjung Aru pada kali ini antara lain bertujuan mempromosikan lokasi berkenaan sebagai antara tempat menyaksikan pemandangan matahari terbenam tercantik di dunia sempena Tahun Melawat Malaysia.
“JAPEN Sabah sentiasa memperkasakan kaedah penyampaian maklumat kepada masyarakat antaranya melalui konsep infotainment di mana kita berkongsi maklumat dan informasi dalam suasana yang santai, namun pada masa yang sama berhibur dengan persembahan dari PENTARAMA JAPEN Sabah.
“Pada program kali ini, kami menjemput wakil Tanjung Aru Eco Development bagi menyampaikan perkongsian maklumat berkenaan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kebersihan alam sekitar terutamanya di kawasan pantai.
“Memandangkan program ini diadakan di lokasi tumpuan pelancong, lagu dan penyampaian maklumat turut disampaikan melalui pelbagai bahasa,” katanya ketika ditemui media selepas Program Borak dan Busking Bersama Pentarama JAPEN Sabah di Pantai Tanjung Aru di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, program kali ini turut mendapat kerjasama rakan strategik di bawah Kementerian Komunikasi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pos Malaysia dan TM Unified Business yang membawakan kaunter perkhidmatan masing-masing secara terus kepada pengunjung.
Jainisah turut memaklumkan kerjasama dan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta agensi-agensi pelancongan negeri membuktikan keberkesanan kaedah penyampaian maklumat dapat diterjemahkan dalam pelbagai platform.
“Melihat sambutan yang positif pada hari ini dan dua lokasi sebelum ini, JAPEN Sabah akan merancang untuk mengadakan pendekatan yang serupa di lokasi tumpuan awam lain,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Pengarah MCMC Sabah, Ratnawaty Talib, Timbalan Pengarah JAPEN Sabah, Azman Sipan dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN Sabah, Peter Tong Ah Pin.
































