SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) komited memperluas program bantuan, bimbingan keusahawanan dan penganjuran mini ekspo ke daerah-daerah luar bandar di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu penting bagi memastikan komuniti usahawan di luar bandar turut mendapat akses kepada peluang pembangunan perniagaan.
Beliau berkata, pendekatan kerjasama dengan persatuan usahawan dan persatuan komuniti akan digunakan bagi menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan di daerah berkenaan.
“Saya komited untuk memastikan program-program bantuan, termasuk penganjuran mini ekspo serta program bimbingan keusahawanan, dapat diperluaskan pada skala yang lebih besar di daerah-daerah luar bandar.
“Saya akan mengambil pendekatan bekerjasama dengan persatuan-persatuan usahawan atau persatuan komuniti untuk menjayakan inisiatif-inisiatif pembangunan keusahawanan ini,” katanya selepas menerima kunjungan usahawan dari Beluran yang menyampaikan beberapa isu dan cadangan bagi membantu memperkukuh komuniti usahawan di daerah itu, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kisah kejayaan usahawan yang bermula secara kecil-kecilan, setelah melalui pelbagai cabaran getir sebelum mencapai kejayaan, wajar dijadikan inspirasi kepada usahawan lain.
“Saya turut berkongsi dengan mereka beberapa kisah kejayaan usahawan yang bermula pada skala kecil, pernah melalui pelbagai cabaran tetapi kini sangat berjaya,” katanya.






























