BELURAN: Aktiviti sukan di sekolah perlu terus diperkasakan kerana bukan sahaja membantu melahirkan murid yang sihat, malah membentuk disiplin, semangat berpasukan, keyakinan diri dan daya tahan dalam kalangan generasi muda.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, kejohanan sukan sekolah merupakan antara platform penting untuk membangunkan murid secara menyeluruh, selain pencapaian akademik.
Beliau berkata, pengalaman menyertai pertandingan membolehkan murid belajar menerima kemenangan dan kekalahan secara positif, di samping memupuk nilai kesungguhan serta semangat tidak mudah berputus asa.
“Menang atau kalah bukan ukuran utama. Yang lebih penting ialah keberanian untuk mencuba, disiplin, kerjasama dan kesungguhan untuk terus memperbaiki diri,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tampat, di sini, hari ini. Ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang.
James berkata, sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, mempunyai potensi besar untuk melahirkan bakat baharu dalam pelbagai bidang termasuk sukan.
Sehubungan itu, katanya, semua murid perlu diberi ruang dan peluang untuk menyertai aktiviti sukan tanpa mengira tahap kebolehan masing-masing.
“Pendidikan yang berkualiti bukan hanya mengenai akademik, tetapi turut merangkumi sukan, kokurikulum, sains, teknologi dan kemahiran.
“Kita mahu melihat anak-anak Sabah membesar sebagai generasi yang berilmu, berkemahiran, sihat, aktif, berdisiplin dan yakin terhadap kemampuan diri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan guru, pihak sekolah, ibu bapa dan semua pihak yang menjayakan kejohanan berkenaan.
Katanya, sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti setempat penting bagi memastikan pembangunan pendidikan dan sahsiah murid dapat dilaksanakan secara menyeluruh.






























