Ewon Benedick
SANDAKAN (Bernama): Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawan dan Pengangkutan Sabah sedang menyiapkan kertas kerja berkaitan perniagaan “barter trade” antara Sabah dan selatan Filipina untuk dibentang dalam mesyuarat Kabinet negeri.
Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata terdapat banyak permintaan daripada dewan perniagaan khususnya dewan perniagaan masyarakat Cina mengenai perniagaan itu dihidupkan semula di pantai timur Sabah.
“Saya ada meninjau fasiliti jeti Jabatan Dermaga di Sandakan yang akan digunakan untuk aktiviti barter trade, saya menerima pelbagai permintaan daripada dewan perniagaan masyarakat Cina di Tawau, Sandakan agar aktiviti ini dirancang semula.
“Saya juga menerima kunjungan daripada Menteri Perdagangan Mindanao yang turut menyatakan hasrat kerjasama yang lebih baik untuk memastikan barter trade itu dilaksanakan, selain daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Tanglung Bersama Masyarakat Sandakan di sini malam tadi.
Namun, Ewon berkata perancangan ke arah itu perlu mengikut tata kelola sesuai termasuk perundangan dan pemantauan.
“Apa pun keputusan, hala tuju (kerajaan Sabah) akan dikongsikan kepada pemain industri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri meminta pihak konsesi yang mengurus pelabuhan di Sabah agar menyediakan kelengkapan seperti jentera serta infrastruktur sokongan bagi meningkatkan kecekapan di pelabuhan, termasuk pelabuhan di Sandakan.
“Saya melihat pembangunan Taman Perindustrian Minyak Sawit Kinabalu hasil kerjasama antara Kerajaan Sabah dan Petronas bagi penerokaan gas di Kluster Mutiara, dengan sasaran untuk membekalkan gas tersebut ke taman perindustrian itu menjelang tahun 2029.
“Perkara itu akan menjadi satu jaminan bekalan tenaga kepada perindustrian di Sandakan, sebab itu kita perlu menyediakan pelabuhan ke arah itu dan tidak menunggu hingga 2029 baru mahu meningkatkan kecekapan di pelabuhan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan memantau pelaksanaan inisiatif mendalamkan laluan kapal ke Pelabuhan Sandakan dan pasir yang dikorek di laluan itu akan digunakan untuk menimbus kawasan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) .
“Cabaran terkait dengan Pelabuhan Sandakan adalah laluan untuk kapal, cetek, jadi banyak kapal besar ini tidak dapat berlabuh walaupun sudah tiba di sekitar pelabuhan, kapal ini perlu menunggu air pasang baru boleh masuk,” katanya. — BERNAMA
































