Tun Musa Aman
KOTA KINABALU (Bernama): Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) khususnya pemberian khas 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan dari Sabah perlu diselesaikan menerusi rundingan yang ikhlas dan konstruktif, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Beliau berkata rundingan itu juga perlu berlandaskan semangat pembentukan Malaysia yang akan menyambut ulang tahun ke-63 esok dan diraikan di seluruh negara sebagai Hari Malaysia.
“Pada Hari Malaysia ini, kita juga harus memperteguh kembali semangat dan prinsip yang mendasari Perjanjian Malaysia 1963,” katanya hari ini dalam perutusan sempena dengan Hari Malaysia 2026.
Tun Musa berkata Hari Malaysia bukan sekadar sambutan ulang tahun, malah juga peringatan mengenai janji yang dimeterai serta tanggungjawab bersama untuk memelihara perpaduan, menghormati asas pembentukan negara, mempertahankan keamanan dan memastikan kemakmuran dinikmati rakyat secara adil.
“Berasaskan semangat saling menghormati, kepercayaan dan kesatuan matlamat, saya yakin kita mampu mengatasi segala cabaran yang mendatang dan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif, makmur dan dihormati,” katanya.
Tun Musa berkata Hari Malaysia tahun ini disambut dalam keadaan dunia mengalami ketidaktentuan geopolitik, tekanan kos sara hidup, gangguan rantaian bekalan dan perubahan iklim, justeru Malaysia perlu kekal berdaya tahan, bersatu padu dan berpandangan jauh terutama dalam mengukuhkan ekonomi.
Beliau berkata ketahanan ekonomi negara itu juga harus diterjemahkan kepada taraf kehidupan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang bermakna, peningkatan pelaburan serta peluang yang dapat dinikmati secara adil di seluruh negara.
Sehubungan itu katanya jurang pembangunan di Sabah perlu ditangani secara serius terutama membabitkan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan peluang ekonomi agar tiada rakyat yang tercicir.
“Pembangunan mesti sampai ke setiap daerah, pekan, kampung dan masyarakat luar bandar agar tiada sesiapa yang tercicir. Sabah yang lebih kuat dan makmur akhirnya akan menjadikan Malaysia lebih kuat dan makmur,” katanya.
Mengenai landskap sosial, beliau menegaskan tiada tempat bagi sebarang bentuk ekstremisme kaum mahupun agama kerana tradisi toleransi dan saling menghormati merupakan identiti keistimewaan terutama di Sabah sejak turun-temurun.
Sehubungan itu, Tun Musa mengingatkan semua pemimpin yang memegang amanah rakyat agar sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi agenda peribadi serta tidak mengeksploitasi sentimen isu kaum atau agama demi keuntungan politik sempit.
“Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang diberikan amanah kepimpinan dan mereka yang bercita-cita untuk memegang jawatan awam, agar sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau politik yang sempit,” katanya. — BERNAMA
































